• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tiada Bola Malam Jumaat, Terengganu ‘Terkejut’ Dengan AFF

KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Terengganu ‘terkejut’ dengan komitmen Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang tidak mengadakan perlawanan bola sepak membabitkan Terengganu FC di negeri itu pada malam Jumaat sebagai menghormati dasar kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul karim berkata, pihaknya menghargai maklum balas AFF yang bersetuju mematuhi Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.

Katanya, walaupun ia permintaan yang agak kerdil, tetapi ia sangat besar ertinya buat rakyat Terengganu.

“Sebagaimana yang telah maklum, Terengganu FC dan KL City dipilih mewakili negara bagi menghadapi saingan Kejohanan Kelab Asean, Shopee Cup. Ia merupakan satu peluang yang sangat baik untuk pasukan beraksi dan sekali gus sebagai satu penghormatan buat Terengganu FC.

“Apa yang menarik, sewaktu sesi lawatan delegasi AFF ke Terengganu pada 19 Mac 2024, pihak Terengganu FC telah kongsikan maklumat berkenaan polisi Kerajaan Negeri melalui  yang tidak membenarkan acara berbentuk hiburan diadakan pada malam Jumaat kerana ia dikhaskan sebagai waktu tenteram masyarakat. 

“Ia dimaklumkan oleh pihak TFC bagi memberikan kemudahan kepada pihak penganjur untuk menyusun jadual perlawanan selepas ini seandainya membabitkan Terengganu sebagai tuan rumah,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.

Mengulas lanjut, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu itu berkata, sebaik sahaja penjelasan polisi itu diberikan kepada pihak AFF, penganjur kemudiannya berkongsi satu ’Special Provision’ yang diberikan kepada Terengganu sempena Shopee Cup. 

“Sejujurnya, kami tidak menjangkakan AFF mengambil serius dan sangat menghormati permintaan Terengganu sehingga ia ditayangkan secara langsung dalam sesi taklimat sewaktu undian pada hari kelmarin di Ho Chi Minh City.

“Semua pasukan yang terlibat juga memahami dan memberikan respon yang sangat baik atas permintaan ini. Agenda sukan sebenarnya sangat menyatukan sekalipun berlainan agama dan bangsa. 

“Sekali lagi, dirakamkan ucapan terima kasih kepada pihak AFF dan Shopee sebagai penganjur dan penaja utama atas penghormatan yang diberikan kepada Terengganu,” tambah Hishamuddin.


Tag: