• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

Tiada Bukti Tiang Surau Tokku Paloh Tempat Bersandar Nabi Khidir

KUALA TERENGGANU, 10 Julai - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memaklumkan tiada bukti sahih yang mengesahkan sebatang tiang di Surau Tokku Paloh sebagai tempat bersandar Nabi Khidir AS.

Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin berkata, pihaknya masih menyiasat dakwaan itu setelah tular satu video yang bertajuk ‘Tabaruk Tiang Nabi Khidir Bersandar di Terengganu’ yang telah menarik perhatian ramai sejak Ahad lalu.

“Sehingga kini tidak terdapat bukti yang sahih untuk menyokong kewujudan tiang tersebut sebagai tempat bersandar Nabi Khidir,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.

Sementara itu, cicit Tokku Paloh, Syed Khairuldin Syed Mustafa menafikan kesahihan video tersebut.

Beliau yang juga merupakan Imam Surau Tokku Paloh itu menyatakan bahawa video itu kemungkinan diambil kira-kira lima hingga enam tahun lalu.

"Ini berdasarkan beberapa unsur seperti kertas yang telah lama dibuang dari dinding surau, tetapi masih kelihatan dalam video tersebut, menunjukkan bahawa video itu memang lama," katanya.

Tambahnya lagi, beberapa perubahan struktur bangunan seperti wakaf di hadapan surau dan atap kolah yang sekarang sudah ada, tetapi pada masa penggambaran video tersebut, struktur ini belum wujud.

“Individu yang membuat kenyataan dalam video tersebut tidak dikenali, menimbulkan keraguan tentang asal usul maklumat yang disampaikan,” ujarnya.

M Rozi menambah bahawa JHEAT akan terus menyiasat kes ini secara teliti sebelum membuat sebarang kenyataan rasmi.


Tag: