Terengganu Peruntuk RM6 Juta Bantu Pelajar Sambung Master, PhD
MARANG, 21 Mac - Tiada lagi bekalan air berjadual di daerah ini bermula 15 Mac lalu selepas bekalan di Tangki Air Imbangan Miel dan Gondang di sini beroperasi sepenuhnya dengan mampu menampung keperluan air bersih untuk 31,000 pengguna setiap hari.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU) Abdul Karim Endut berkata bermula dari tarikh tersebut projek bekalan air bernilai RM60 juta itu berupaya menyediakan bekalan air yang mencukupi tanpa sebarang gangguan.
Katanya pada 15 Mac lepas, Tangki Imbangan Miel beroperasi sepenuhnya tanpa gangguan bekalan air manakala Tangki Air Gondang bermula pada 19 Mac lalu.
Sementara itu, proses penurapan jalan (mill dan pave) akibat projek penggalian paip berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dari sekarang.
"Ia merupakan prosedur biasa dalam penyiapan projek paip utama. Pembaikian jalan berturap mengikut kaedah mill dan pave selepas paip diuji akan disempurnakan secara berperingkat," katanya ketika ditemui pemberita di Perkarangan Tangki Air Bangan Miel di sini hari ini.
Jelasnya, Tangki Air Imbangan Miel dibina pada tahun 2006 berkapasiti 10,000 meter padu air.
"Bermula tahun 2014, tangki tersebut tidak lagi berupaya untuk mengekalkan paras air dalam tangki dengan kadar yang baik kerana permintaan pada masa itu melebihi keupayaan bekalan air yang disalurkan ke tangki tersebut," ujarnya.
Katanya, pada tahun itu bermula episod di mana terdapat di sesetengah tempat terpaksa disediakan bekalan air secara berjadual pada waktu malam.
"Ini kerana selama 10 tahun Tangki Air Imbangan hanya berjaya mengekalkan paras air setinggi satu meter sahaja pada satu-satu masa kerana air yang disalurkan ke tangki ini terus digunakan oleh pengguna.
"Bermula 15 Mac lepas ketinggian air di Tangki Imbangan berjaya dikekalkan pada paras 7.5 meter manakala di Tangki Gondang pula paras air yang sama dikekalkan bermula pada 19 Mac," jelasnya.
Dengan kadar ketinggian itu tambahnya, bekalan air mencukupi untuk kegunaan penduduk tanpa perlu mengadakan bekalan berjadual.
Katanya Tangki Imbangan Miel membekalkan air bersih untuk keseluruhan bandar Marang sehingga ke Kampung Pasir Putih Merchang, manakala Tangki Gondang membekalkan air paip sehingga ke Kampung Tirok.
Untuk rekod pada tahun 2022 melalui Projek Bekalan Air Kuala Terengganu Utara, SATU mula memasang jajaran paip yang baharu berdiameter 900 milimeter daripada Loji Air Kepong ke tangki miel itu sepanjang 15 kilometer.
Sementara dari tangki tersebut SATU memasang satu lagi paip jajaran berdiameter 700 milimeter ke tangki Imbangan di Gondang sepanjang sembilan kilometer dengan kapasiti yang sama.
Katanya, Tangki Imbangan Miel dan Gondang boleh menampung keperluan bekalan air bersih untuk 31,000 akaun (pengguna).
"Tangki miel ini (imbangan) menyediakan bekalan kepada hampir 18,000 pengguna manakala tangki Gondang untuk 13,000 pemilik akaun," jelasnya.