• 11 Mei 2024 | 3 Zulkaedah 1445

KUALA TERENGGANU, 28 April - Ketiadaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) telah mengakibatkan kurangnya minat pelajar dalam memahami dan menyerap ilmu dalam subjek-subjek akademik. 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia memansuhkan UPSR mulai tahun 2021 telah menimbulkan kebimbangan di kalangan pelajar dan ibu bapa.

"Kita pernah bangkitkan dalam mesyuarat peringkat Menteri Pendidikan dan ini persoalan yang dibangkitkan oleh semua negeri.

"Bila berlaku tidak ada peperiksaan pelajar tidak mengambil cakna dalam memberi kekuasan dalam mata pelajaran yang sedia ada.

Kita nak melihat sejauh mana pelajar menguasai mata pelajaran yang kita tawarkan," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan ke atas Usul Menjujung Kasih dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 bagi tahun 2024, di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

Menurutnya, tahun 2024 merupakan tahun pertama diadakan UPSRi di Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI).

"Tahun ini tahun pertama kita bermula UPSRi untuk melihat prestasi pelajar.

"Kita buat saringan untuk sambung pengajian peringkat Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI).

"Tapi setakat ini kita lihat menjadi kesukaran (apabila UPSR dimansuhkan) dalam pemilihan pelajar untuk masuk IMTIAZ ataupun sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri dan mereka telah melihat keputusan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK)," ujarnya.

Beliau menambah, di Terengganu setakat ini, pelajar dalam beberapa ujian peperiksaan seperti SPM, STAM, dan sebagainya telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan keseluruhannya, di mana pencapaian negeri setiap tahun mengatasi di peringkat kebangsaan.

"Berusaha untuk mencapai pencapaian keseluruhan bagi meningkatkan pencapaian dari peratus lulus ataupun layak memiliki sijil serta cuba untuk meminimakan peratus kegagalan. 

"Itulah yang menjadi hasrat kita supaya mencapai 100 peratus lulus semuanya 

"Apapun kita juga mengambil kira dan berusaha untuk mencapai  peratus ataupun gred purata yang lebih baik daripada satu tahun ke satu tahun dan contohnya dalam pencapaian SPM bermula 2018 sehingga 2023," katanya.

Untuk rekod jelas beliau, pada tahun 2018 gred purata bagi negeri adalah 4.90, 4.69 (2019), 4.55 (2020), 4.72 (2021) dan 4.59 (2022).

"Gred purata yang menunjukkan prestasi keseluruhan semakin baik dan kita mengunjurkan pencapaian SPM 2023 lebih baik berbanding tahun 2022.

"Begitu juga pencapaian STPM yang kita melihat nilaian ndk semakin baik. Pada 2018, 2.99, 2019, 3.02, 2020, 3.03, 2021, 3.03 dan 2022, 3.04," katanya.

"Kita melihat Terengganu muncul satu-satu negeri yang mencapai PNGK 3.0 ke atas sejak tahun 2019," katanya.

 


Tag: