• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

TIBW 2024 Tampil Kelainan, Rai Anak Asnaf Di Tapak Program

KUALA TERENGGANU, 26 Jun- Program Terengganu International Bike Week (TIBW) 2024 yang memasuki tahun ke -12 penganjurannya menampilkan beberapa kelainan dalam usaha menjadikan program ini lebih bermakna buat para ‘bikers’ dan juga pengunjung.

Presiden East Coast Motorcycle Club (ECMC), Tengku Seri Temenggong Raja, Datuk Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah berkata, dengan memanjangkan tempoh masa untuk ‘event’ yang dianjurkan, pihaknya yakin program yang turut mendapat kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) itu mampu memberi impak besar kepada sektor pelancongan negeri sekali gus merancakkan ekonomi penduduk setempat.

“TIBW 2024 akan bermula pada hari ini (26 Jun) hingga 30 Jun ini dengan pelbagai pengisian menarik.

“Sebelum ini, kita adakan selama tiga hari sahaja, tetapi untuk kali ini kita lanjutkan sehingga lima hari,” ujarnya ketika bersiaran langsung di TV Darul Iman (TVDI), Temubual Selamat Pagi Terengganu (SPT), di sini, hari ini.

Lebih istimewa katanya, semua acara dan aktiviti hanya akan dilaksanakan di tapak program iaitu di Dataran Shah Bandar termasuk acara makan malam dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

“Bagi menggantikan program CRS sebelum ini iaitu ‘ride’ santai muhibah, kali ini dengan kerjasama pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) kita akan bawa anak-anak asnaf untuk datang ke tapak program bagi meraikan dan menyampaikan sumbangan.

“Secara tidak langsung, selain mengembirakan mereka, usaha ini membuka peluang dan ruang kepada lebih ramai ‘bikers’ dan juga pengunjung untuk turut sama menghulurkan sumbangan kepada keluarga yang kurang berkemampuan,” ujarnya.

Menurut beliau, TIBW 2024 akan turut diserikan dengan program sembang santai bersama Ustaz Azhar Idrus selepas solat Isyak pada 27 Jun.

"Manakala program Tabligh Akhbar TIBW pula akan menampilkan Ustaz Kamal Hamzah selepas solat mahgrib.

"Dari sudut hadiah cabutan bertuah pula TIBW menyediakan hadiah yang cukup menarik untuk dibawa pulang oleh peserta berdaftar iaitu sebuah motosikal Harley Davidson, sebuah motorsikal RXZ dan sebuah motosikal Yamaha NVX," katanya.

Selain itu katanya, sepanjang program berlangsung, pengunjung turut berpeluang mengunjungi booth jualan dan pameran daripada pihak penaja dan vendor.

"Berkaitan motorsikal berkuasa tinggi dan pelbagai aksesori motorsikal termasuk pameran motor berkuasa tinggi, motor klasik, skuter cantik serta pelbagai lagi.

 “Juga terdapat pameran daripada agensi kerajaan dan ada jualan produk IKS Tempatan petandingan mewarna kanak-kanak, persembahan kebudayaan dan lain-lain lagi," katanya.