• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

'Tidak Semestinya Jadi EXCO Untuk Bawa Suara Wanita Terengganu'- Kak Da

KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - "Tidak semestinya perlu untuk menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi membawa suara wanita Terengganu ke peringkat tertinggi," ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Mohd Nor.

Katanya, ketika dilantik menjadi ADUN Wanita, beliau telah berjaya melaksanakan tugasan  dalam mengangkat martabat golongan berkenaan sekali gus menjaga kebajikan mereka apabila 'Dasar Wanita Terengganu' diperkenalkan.

"Bagi saya, tidak semestinya menjadi EXCO untuk membawa suara wanita Terengganu ke peringkat tertinggi. Jika dahulu pun, saya selaku ADUN lantikan pun mampu melakukan tanggungjawab tersebut.

"Insya-Allah , saya akan bergandingan bersama-sama  Ustaz Maliaman Kassim, selaku Timbalan Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri bagi memastikan wanita Terengganu terus terbela,"ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mejawab polemik yang ditimbulkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mempersoalkan mengapa bukan wanita yang mewakili portfolio kaum hawa itu, melalui suatu kenyataan, di sini, hari ini.

Tegasnya, polemik yang sengaja ditimbulkan itu tidak menghalangnya untuk meneruskan segala gerak kerja serta usaha yang telah diasaskan sebelum ini untuk memastikan kebajikan rakyat terus terbela antaranya akan meneruskan Pusat Autisme Sejahtera Terengganu yang telah dirasmikan pada 26 Julai 2023.

Tambahnya,  MAWADDAH yang berperanan sebagai pemandu arah  merupakan Majlis Permuafakatan Wanita Terengganu merupakan sekumpulan pemikir yang dibarisi oleh wanita dari pelbagai latar belakang kerjaya juga merupakan profesional serta pakar dalam bidang masing-masing.

"Insya-Allah pada tahun ini kita akan mulakan proses implementasi kepada para pemegang taruh dan akan disusuli juga dengan proses-proses berikutnya bagi memastikan agenda memperkasakan wanita Terengganu tidak keciciran melalui Dasar Wanita Terengganu yang telah dilancarkan pada 29 September 2022.

"Kita juga akan memfungsikan secara total Urus Setia Wanita (USWA) Terengganu yang ditubuhkan secara rasmi pada 9 Ogos 2023 selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS)," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan agar semua pihak mendoakannya agar diberi kekuatan untuk menggalas amanah dan turut berharap dokongan daripada semua pihak.

"Insya-Allah saya akan usahakan yang terbaik, demi memastikan hasrat Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera itu tercapai dan rakyat dapat menikmati hasil daripada itu,"ujarnya.