DUNGUN, 17 Ogos – Penguasaan tiga bahasa asing iaitu Mandarin, Korea dan Jepun mampu memberi nilai tambah kepada pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Dungun, khususnya dalam membuka lebih banyak peluang melanjutkan pengajian serta membina kerjaya pada masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SM Imtiaz Yayasan Terengganu Dungun berkata, pengenalan Bahasa Korea di sekolah berkenaan merupakan satu peluang besar kepada pelajar untuk menguasai kemahiran tambahan selain pendidikan tahfiz dan akademik.
Menurut beliau, pihak PIBG menyambut baik usaha Yayasan Terengganu memilih Imtiaz Dungun sebagai sekolah yang menawarkan program Tahfiz Bahasa Korea.
“Terima kasih kepada Yayasan Terengganu kerana memilih Imtiaz Dungun untuk program Tahfiz Bahasa Korea ini.
“Ini satu peluang yang sangat baik untuk anak-anak kita kerana mereka bukan sahaja mendapat pendidikan tahfiz, tetapi pada masa sama dapat menguasai bahasa asing yang boleh membuka peluang lebih luas untuk mereka pada masa akan datang,” katanya.

Katanya, pendekatan memperkenalkan bahasa Mandarin, Korea dan Jepun di sekolah-sekolah Imtiaz membolehkan pelajar mendapat pendedahan lebih awal kepada bahasa dan budaya negara yang pesat berkembang dalam bidang teknologi, kejuruteraan dan industri.
“Bila mereka sudah mula belajar dari sekolah, mereka ada masa yang cukup untuk membina keyakinan dan kemahiran berbahasa.
“Lima tahun di sekolah mungkin nampak lama, tetapi sebenarnya sekejap sahaja. Kalau dimanfaatkan dengan baik, insya-Allah mereka boleh keluar daripada Imtiaz dengan satu lagi kemahiran yang sangat bernilai,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperluaskan penguasaan bahasa asing dalam kalangan pelajar perlu diteruskan supaya anak-anak Terengganu mempunyai pilihan lebih luas untuk melanjutkan pengajian serta meneroka peluang kerjaya di peringkat antarabangsa.
“Pendidikan ini mungkin hasilnya tidak nampak serta-merta. Tetapi kita sedang bina asas untuk anak-anak kita. Hari ini mereka belajar bahasa, insya-Allah beberapa tahun lagi mereka mungkin menggunakannya untuk sambung belajar atau bekerja di luar negara.
“Sebagai PIBG, kita sangat menghargai usaha Yayasan Terengganu dan kerajaan negeri yang memberi peluang ini kepada pelajar Imtiaz Dungun,” katanya.
Beliau berharap pelajar yang mengikuti program berkenaan dapat memanfaatkan peluang itu dengan bersungguh-sungguh dan menjadikan penguasaan bahasa asing sebagai salah satu kelebihan mereka pada masa hadapan.