Jalur Gemilang
Berita :
Tiga Jam Pujuk ‘Awang Kolam’, Sanum dan Abot Bantu Operasi Pemindahan
Tiga Jam Pujuk ‘Awang Kolam’, Sanum dan Abot Bantu Operasi Pemindahan
Muhammad Aqil Mat Ali
1 jam yang lepas
107

HULU TERENGGANU , 16 September - Kira-kira tiga jam diperlukan dua gajah denak betina, Sanum dan Abot untuk memujuk ‘Awang Kolam’ sebelum gajah jantan itu berjaya dibawa keluar dari Kampung Kolam, Ajil, hari ini.

Operasi tangkap dan pindah itu dilaksanakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu bersama pasukan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, Pahang bagi mengurangkan risiko konflik antara gajah liar dan penduduk setempat.


Pengarah Perhilitan Terengganu, Dennis Ten Choon Yung berkata, proses memujuk ‘Awang Kolam’ bermula kira-kira jam 9 pagi dan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP), dengan keselamatan anggota operasi serta penduduk menjadi keutamaan.

“Operasi ini turut melibatkan kira-kira 24 anggota daripada Perhilitan Terengganu, PKGK Kuala Gandah dan Pusat Santuari Gajah Johor (JES).

“Proses membawa keluar gajah ini berjalan lancar dan ‘Awang Kolam’ berjaya dinaikkan ke dalam lori sekitar jam 12 tengah hari,” katanya ketika ditemui media, hari ini.

Menurutnya, gajah jantan berkenaan dijangka dilepaskan di lokasi yang ditetapkan di Hutan Simpan Royal Belum, Perak pada petang atau malam ini.

Katanya, setiap operasi tangkap dan pindah gajah liar perlu mengambil kira keadaan kawasan serta habitat gajah bagi memastikan tindakan yang diambil tidak mengancam keselamatan manusia mahupun hidupan liar berkenaan.


Sementara itu, Dennis berkata, sebanyak 10 operasi tangkap dan pindah gajah yang terlibat dalam konflik dengan manusia telah dilaksanakan Perhilitan Terengganu sepanjang tahun ini.

“Operasi ini bertujuan mengurangkan risiko konflik gajah liar dengan manusia selain melindungi keselamatan penduduk, harta benda dan aset awam.

“Sekiranya kehadiran gajah menimbulkan ancaman keselamatan kepada penduduk, kita akan mengambil tindakan termasuk memindahkan gajah berkenaan,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan