• 24 Nov 2020 | 8 Rabiul Akhir 1442

Tiga MPKK Terima Sumbangan Ahli Parlimen Kuala Terengganu

Oleh: Ahmad Sabri Yusof

KUALA TERENGGANU, 19 Ogos - Tiga Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk dan DUN Bandar telah menerima agihan peruntukan perbekalan di bawah Parlimen Kuala Terengganu.

Pegawai Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Terengganu, Tuan Ngah Tuan Ahmad berkata, agihan perbekalan kepada semua MPKK dalam DUN Batu Buruk ini sedang dilaksanakan.

“Antara barangan yang diserahkan itu termasuk set kanopi, satu unit Epson Projektor, Vosch Solid Tripod Screen, 100 buah kerusi dan meja,” ujarnya mewakili Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim bagi menyerahkan sejumlah barangan perbekalan itu kepada Pengerusi MPKK Kampung Tok Adis, Mazlam Abdullah di Balai Raya Kampung Tok Adis, Kuala Ibai di sini baru-baru ini.

Manakala MPKK Kampung Tiong dan MPKK Pejabat Bandaran pula menerima penyerahan Projek Perbekalan Parlimen Kuala Terengganu bernilai RM10,000 bagi setiap MPKK yang disampaikan Pembantu Khas Parlimen Kuala Terengganu bagi DUN Bandar, Syed Mohammad Suhaimi Syed Mohamad.

Mewakili Ahmad Amzad, Syed turut berpesan agar sumbangan yang diterima dapat dimanfaatkan dengan baik.

“Saya harap mana-mana MPKK yang terima sumbangan (kerajaan) ini dapat jaga dan guna dengan baik, kerana ini hak rakyat. Kita hanyalah pemegang amanah sahaja.

“Semoga dengan sumbangan berupa kelengkapan dan peralatan pejabat pengurusan MPKK ini dapat melancarkan lagi gerak kerja kemasyarakatan serta kemudahan kepada rakyat di kawasan ini,” jelasnya.

Sumbangan itu diterima oleh Pengerusi MPKK Kampung Tiong, Mohammed Yusop dan Pengerusi MPKK Pejabat Bandaran, Puan Maliha Mohd Esoff dalam satu majlis di Pejabat MPKK Kampung Tiong, Kuala Terengganu.

 


Tag: