• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Tiga Rumah Terjejas Ribut Dibaiki Segera - PPD Bukit Besi

Rumah yang rosak akibat ribut semalam.

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 13 Julai - Ribut kencang yang menjejaskan tiga buah rumah di Kampung Tepus dan  Kampung Rantau Panjang di Hulu Dungun akan dibaiki segera.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, dalam kejadian yang berlaku semalam, rumah yang dihuni penduduk di dua kampung berkenaan rosak selepas dipukul ribut.

Jelasnya, ribut kencang itu juga turut menjejaskan jalan utama ke Kampung Rantau Panjang apabila sebatang pokok tumbang di atasnya.

"Kita akan keluarkan sedikit belanja untuk baiki kerosakkan rumah itu, dalam pada itu kita bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa, dan kesan ribut kali ini tidak seteruk yang berlaku sebelum ini.

"Ia hanya melibatkan tiga buah rumah yang yang dimiliki oleh Nora Jaafar, 46, Salim Hamzah, 50, yang merupakan penduduk kampung Rantau Panjang manakala sebuah rumah di Tepus dimiliki oleh Talib Abdul Rahman, 76," katanya.
Ghazali menunjukkan atap baharu yang akan dipasang untuk membaiki rumah yang rosak

Beliau berkata demikian, ketika dihubungi pemberita selepas menziarahi rumah mangsa yang terlibat, di sini hari ini.

Menurut Ghazali lagi, maklumat kerosakkan akibat ribut berkenaan turut dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan bantuan segera untuk mangsa.

Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati penduduk di DUN berkenaan supaya mengambil langkah berhati-hati dalam menghadapi angin ribut yang sering berlaku.

"Kita juga telah maklumkan kepada Pejabat Daerah Dungun serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang telah bertindak mengalihkan pokok tumbang di jalan utama dan rumah penduduk," jelasnya.

"Di samping itu, bermunajatlah kepada Allah agar tiada berlaku sebarang perkara yang tidak diingini," jelasnya lagi.



Tag: