Berita :
Tilawah Al-Quran: Platform Penting Bentuk Jati Diri Generasi Muda
Tilawah Al-Quran: Platform Penting Bentuk Jati Diri Generasi Muda
Rohayati Ripin
8 jam yang lepas
47

KUALA TERENGGANU, 20 April – Penglibatan dalam bidang tilawah Al-Quran bukan sekadar satu penyertaan pertandingan, tetapi merupakan satu usaha penting dalam membentuk jati diri, kekuatan rohani danb hala tuju hidup generasi muda masa kini.

Peserta tilawah kebangsaan dari Terengganu, Nor Jannah Abd Rahman berkata, pendekatan mendekati Al-Quran perlu dilihat sebagai satu keperluan hidup, bukan beban, khususnya dalam kalangan anak muda yang berdepan pelbagai cabaran dunia moden.

Menurut beliau, minat terhadap Al-Quran hanya dapat dipupuk melalui keikhlasan serta kesedaran bahawa kitab suci itu merupakan panduan utama kehidupan.

“Apabila kita mendekati Al-Quran dengan hati yang bersih, insyaAllah rasa cinta itu akan hadir sedikit demi sedikit dan memberi ketenangan dalam jiwa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau yang meraih tempat ketiga peringkat kebangsaan menyifatkan pencapaian tersebut sebagai satu amanah yang telah disempurnakan, di samping menzahirkan rasa syukur atas kekuatan yang diberikan untuk melalui setiap ujian sepanjang pertandingan.

Dalam masa sama, Nor Jannah menegaskan bahawa golongan muda perlu didedahkan dengan pendidikan Al-Quran secara berterusan agar tidak terputus daripada nilai-nilai murni yang menjadi asas pembinaan ummah.

“Mulakan dengan langkah kecil seperti membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran. Mereka yang sentiasa bersama Al-Quran tidak akan rugi, bahkan memperoleh ketenangan serta syafaat di akhirat kelak,” ujarnya.

Beliau yang berasal dari Kampung Ladang Bari, Sungai Tong, kini berkhidmat di Pusat Pengajian Islam dan Al-Quran OKU Yayasan Islam Terengganu, serta telah enam kali mewakili negeri ke peringkat kebangsaan sejak mula menceburi bidang tilawah pada tahun 2009.

Menariknya, beliau juga berasal daripada keluarga yang aktif dalam bidang taranum, bersama pasangan kembarnya, Nor Hidayah  Abd Rahman yang pernah dinobatkan sebagai johan antarabangsa pada tahun 2024.

Justeru itu, beliau berharap lebih ramai anak muda tampil menjadikan Al-Quran sebagai teman hidup, sekali gus melahirkan generasi yang bukan sahaja mampu membaca, tetapi benar-benar menghayati dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan