lightning-solid
Berita :
TOD Enam Stesen ECRL Terengganu Dipercepat Susulan Operasi Fasa 1 Disember
TOD Enam Stesen ECRL Terengganu Dipercepat Susulan Operasi Fasa 1 Disember
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
9

KEMAMAN, 16 Ogos - Pembangunan berorientasikan transit (TOD) di enam stesen East Coast Rail Link (ECRL) di Terengganu akan dipercepatkan susulan sasaran operasi Fasa 1 diawalkan kepada Disember ini, berbanding jadual asal pada Januari 2027.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu penting bagi memastikan kemudahan dan pembangunan di sekitar stesen dapat dimanfaatkan untuk merancakkan kegiatan ekonomi setempat serta membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat.

“Saya menyambut baik makluman bahawa ia dapat beroperasi lebih awal pada Disember berbanding Januari.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita telah berbincang dengan pelbagai pihak. Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) sendiri turut berbincang dengan beberapa syarikat untuk membangunkan TOD di stesen-stesen yang ada di negeri Terengganu.

“Ini melibatkan enam stesen dan tentunya dengan pergerakan yang lebih awal ini menyebabkan kita perlu melihat semula apa yang boleh dilaksanakan dalam tempoh yang singkat,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kilang Pemulihan Sisa Pepejal IGNiS 3R di Tapak Pelupusan Sampah Bukit Gelugor, Kerteh, semalam.

Menurutnya, pembangunan TOD berkenaan perlu dirancang dengan mengambil kira peluang ekonomi yang boleh diwujudkan kepada penduduk setempat, khususnya usahawan dan penyedia perkhidmatan.

“Pertama, saya mengucapkan tahniah kepada pihak China Communications Construction Company Ltd (CCCC) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), dengan dibantu Kementerian Pengangkutan dan Kerajaan Negeri sendiri yang telah memudah cara projek ini sehingga mampu dijalankan dengan begitu efisien,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Terengganu, khususnya golongan usahawan, supaya mula memikirkan peluang perniagaan yang boleh diwujudkan di sekitar stesen ECRL.

“Saya menyuruh seluruh rakyat negeri Terengganu yang menjalankan apa-apa aktiviti perniagaan, terutama yang boleh membantu di stesen-stesen, supaya memikirkan perkara ini bukan sekarang, tetapi sebenarnya daripada semalam lagi.

“Kita mahu mereka memikirkan peluang perniagaan sokongan yang boleh dilaksanakan, termasuk menjual pelbagai barangan dan menyediakan perkhidmatan di sekitar stesen kerana ia juga mampu membantu meningkatkan ekonomi rakyat Terengganu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Kerajaan Terengganu sedang mengusahakan laluan pengangkutan kargo menggunakan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Pelabuhan Kemaman bagi memastikan projek berkenaan turut menjadi pemangkin utama pertumbuhan sektor industri dan ekonomi negeri.

Ahmad Samsuri berkata, penyertaan syarikat-syarikat industri untuk menghantar barangan melalui ECRL perlu diperkasakan, termasuk usaha mewujudkan laluan dari kawasan industri ke Pelabuhan Kemaman.

“Semua itu kita sudah ada reka bentuk dan kerangka pembangunan yang jelas, namun ia masih memerlukan persetujuan daripada pihak pelabur kerana melibatkan kos yang besar.

“Kerajaan negeri tidak akan menanggung sepenuhnya kos pembangunan projek tersebut. Mungkin dari segi infrastruktur seperti jalan raya dan kemudahan utiliti termasuk elektrik, saliran, pembentungan dan bekalan air boleh disediakan oleh kerajaan negeri.

“Namun, kita masih memerlukan pelaburan daripada syarikat luar yang kini sedang diusahakan oleh UPEN bersama MBR dan Terengganu Incorporated,” katanya.

Beliau menambah, perbincangan dan pelaksanaan bagi memastikan laluan pengangkutan kargo ke Pelabuhan Kemaman dapat diwujudkan sedang dijalankan, manakala Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) turut mengambil langkah berkaitan dengan mengeluarkan tender kepada pihak berkenaan.

“Insya-Allah kita akan ada laluan sehingga sampai ke port,” ujarnya.

Ahmad Samsuri berkata, Kerajaan Terengganu bersama EPIC turut mempertimbangkan penggunaan ECRL bukan sahaja untuk membawa penumpang, malah sebagai laluan pengangkutan barangan ke Pelabuhan Kemaman.

“Ini juga sudah menjadi pertimbangan bagi EPIC bersama kerajaan negeri untuk memastikan laluan ECRL itu bukan sekadar untuk penumpang.

“Kita tahu bahawa untuk mengoperasikan kereta api yang sebegini rupa, bergantung kepada penumpang semata-mata tidak memberikan sumber kewangan yang besar kepada syarikat pengendali kereta api ini.

“Tetapi ia memerlukan penyertaan daripada syarikat-syarikat untuk menghantar barang-barang mereka melalui laluan ini,” tambah beliau.


Tag :

Artikel Berkaitan