• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

‘Tolong… Elakkan Pembakaran Terbuka’

Wan Sukairi menerima cenderahati penghargaan daripada pihak Bomba Kuala Terengganu.


Oleh: Wan Luqman Hakim

KUALA TERENGGANU, 6 Januari- Orang awam dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka berikutan cuaca semasa yang kering dan mungkin menyebabkan kebakaran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat  Kuala Terengganu, Rozizah Abnihajar berkata, cuaca kering itu dijangka berlanjutan hingga bulan Mac ini berdasarkan maklumat yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Walaupun ada hujan sedikit, tetapi cuaca telah mulai panas. Jadi, kami perlukan kerjasama dari masyarakat supaya tidak membuat kebakaran terbuka.

 “Jika perlu buat juga, ia mesti dikawal supaya tidak merebak ke tempat yang lebih luas,” jelasnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sewaktu melakukan kunjungan hormat bertemu Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah di Wisma Darul Iman, hari ini.
Rozizah berbincang bersama Wan Sukairi untuk membina masyarakat peka menangani situasi kecemasan seperti kebakaran.
Beliau turut mengingatkan bahawa kebanyakan kebakaran terjadi dan sukar dikawal adalah disebabkan kurangnya pengetahuan tentang pencegahan kebakaran.

“Kaedah-kaedah pencegahan dan mengawal kebakaran perlu ditekankan kepada masyarakat. Contohnya, jika api dapur terbakar apa yang perlu dilakukan, mana puncanya?

“Sebenarnya ia senang dan mudah untuk kita tangani, tetapi oleh kerana masyarakat tidak tahu teknik dan cara terbaik untuk memadamkan kebakaran ia menjadi sukar,” katanya.

Tambahnya, statistik mengatakan bahawa punca kebanyakan rumah daripada dapur, jadi pihak Bomba cuba mengambil insiatif untuk mendedahkan kepada masyarakat dengan mengadakan Program Bomba Bersama Rakyat.

“Kami ingin mengetengahkan program ini bagi mendedahkan masyarakat kaedah mencegahkan dan menangani kebakaran untuk meningkatkan kepekaan dalam komuniti.

“Kita mahu agar tahun 2020 ini, kes-kes kebakaran dirumah-rumah kediaman dapat dikurangkan,” katanya.



Tag: