• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Tonjolkan Aktiviti Kebudayaan Kepada Pelancong


Oleh: Saifullah Jusoh




BESUT, 28 April- Masyarakat di negeri ini disaran menonjolkan kepelbagaian budaya, adat dan pelbagai tempat menarik kepada masyarakat luar terutama pelancong asing.

Timbalan Pengerusi 1 Jawatankuasa Pelancongan Dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Sulaiman Sulong berkata, pendekatan itu sangat wajar kerana bukan dapat mempromosi Terengganu secara berdepan malah mampu mengukuhkan lagi ekonomi negeri ini.

“Bukan itu sahaja, sekiranya pelancongan bertambah, ekonomi penduduk terutama yang melibatkan diri dalam perniagaan akan bertambah kukuh,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Program Jom Singgoh Pekan Budaya Besut Terengganu Comel & Jelajah Warisan Terengganu 2019 yang bertempat di Pentas Rebana Pantai Air Tawar, di sini, semalam.

Turut hadir, Pegawai Daerah Besut, Haji Rozali Salleh, Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Ahmad Azizi Zulkifli dan Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Haji Azbi Salleh.


Program yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Pejabat Daerah Besut dan Majlis Kebudayaan Daerah Besut itu berlangsung selama empat hari bermula 25 April dan berakhir 28 April lalu.

YB Ustaz Sulaiman Sulong berkata, dia berharap program itu dapat mencapai matlamat kerajaan negeri  yang mahukan jumlah pelancong bertambah pada setiap tahun sekali gus mencapai sasaran lima juta pada tahun ini.

“Dengan adanya program sebegini, kita dapat mengekalkan budaya agar ianya dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang.

“Kerajaan negeri akan terus menyokong usaha-usaha sebegini agar kita dapat menyusun adat, mengikuti syariat,”katanya.

Pelbagai aktiviti-aktiviti menarik telah diadakan seperi persembahan dikir barat, seni pertahanan diri, silat dan banyak lagi yang telah menarik ramai pengunjung ke program itu.


Tag: