• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

TSG Tampil Tiga Muka Baharu Hadapi Musim 2024

KUALA TERENGGANU, 22 Januari -  Pasukan Benua Terbaik Dunia, Terengganu Cycling Team (TSG) menampilkan tiga pelumba baharu bagi saingan musim 2024 dalam usaha meningkatkan prestasi ke tahap lebih tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Izmuddin Che Ku Mahmood memaklumkan, dua pelumba import iaitu Andreas Miltiadis dari Cyprus dan Merhawi Kudus Ghebremedhin dari Eritrea mengisi kekosongan ditinggalkan pelumba musim lalu, Jambaljamts Sainbayar (Mongolia) dan Jeroen Meijers (Belanda).

Jelasnya, Miltiadis yang berperanan di posisi 'all rounder' memiliki rekod yang agak baik sebagai juara sembilan kali National Championship Cyprus-ITT.

"Kudus pula merupakan antara sandaran TSG pada musim 2024 di mana beliau merupakan seorang 'general rider', memandangkan Sainbayar telah berpindah ke pasukan Pro Continental.

"Selain itu, Nur Aiman Rosli adalah satu nilai tambah kepada TSG kerana beliau merupakan juara kebangsaan dalam kategori catatan masa individu pada tahun lalu, beliau akan bergandingan bersama aiman zarif bagi melengkapkan senarai pasukan TSG untuk tahun 2024," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Pelancaran Pasukan TSG 2024 di Permai Hotel, malam tadi.

Majlis berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim sekaligus diadakan sempena kejayaan TSG bergelar Juara Asia serta Pasukan Benua Terbaik Dunia.

TSG turut membariskan Nur Amirull Fakheruddin Mazuki (Kapten pasukan), Mohd Hariff Saleh, Irwandie Lakasek, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff, Wan Abdul Rahman Hamdan, Kee Zhe Yie, Muhammad Shahmir Aiman Abd Halim dan Zuladri Amin Zulkurnain sebagai tenaga tempatan bagi musim ini.

TSG juga mengekalkan Aiman Cahyadi (Indonesia), Jesse Ewart (Ireland), Youcef Reguigui (Algeria), Metkel Eyob Teweldeberhan (Eritrea) dan Anatolii Budiak dari Ukraine.

Dalam pada itu, Hishamuddin memuji pencapaian luar biasa TSG pada musim 2023.

"Alhamdulillah, pencapaian TSG amat baik di luar jangkaan kami. Buat masa ini, TSG telah meletakkan kedudukan antara terbaik pada musim 2023.

Sebenarnya apabila pencapaian sudah berada pada tahap yang agak baik, sasaran kita tentulah untuk mengatasi pencapaian ini. Namun, kita belum letakkan secara terperinci sasaran seterusnya cuma akan melebihi pencapaian semasa.

"Kita sangat berpuas hati, antara sebab penaja terus bersama kita adalah usaha mereka (TSG) memberi layanan terbaik kepada penaja menyebabkan penaja-penaja besar kekal bersama walaupun berdepan situasi ekonomi yang sukar sekarang," katanya.

Pasukan TSG merekodkan pencapaian terbaik pada musim 2023 sejak 13 tahun penubuhannya setelah dinobatkan selaku pasukan ke-29 terbaik UCI World Tour daripada 215 pasukan sekaligus muncul sebgai Pasukan Benua Terbaik Dunia.

Pasukan pantai timur itu turut mengulangi pencapaian juara Jelajah Asia UCI dengan kejayaan merebut 118 podium sepanjang musim.

Kejayaan demi kejayaan bergelar Juara Asia sebanyak lima kali dan Juara UCI Continental sebanyak dua kali berjaya menarik 23 penaja dengan nilai keseluruhan melebihi RM10 juta.

Antara penaja baru yang menyertai TSG musim ini adalah Nusantara Trust Fund Foundation, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC), MS Earth Travel, Cetak Now dan Koridor Utiliti Teknologi Terengganu (KUTT).


Tag: