• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

TSG Tubuh Akademi Cungkil Bakat Baru



Pasukan TSG bersedia beraksi pada LTdL 2018. Foto Tengku Syamim Tengku Ismail

Kerajaan negeri akan menubuhkan Akademi Terengganu Pro Asia Cycling Team sebagai usaha mencungkil bakat baru dalam sukan berbasikal dari seawal usia tujuh tahun.

Akademi yang dijangka bermula sebelum pertengahan tahun ini mampu melahirkan lebih ramai pelumba berkualiti dan profesional.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’  Rozi Mamat berkata, inisiatif itu mampu memberi pendedahan awal kepada bakat muda untuk diketengahkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Di Terengganu ramai pelumba-peluma basikal, tetapi sekarang ini mereka tidak diketengahkan malah, tidak ada peluang untuk diketengahkan.

“Oleh itu kita perlu mewujudkan pasukan pelapis untuk memberi peluang dan pengalaman kepada mereka untuk menyertai acara-acara terutamanya di luar negara",  katanya.

Beliau yang mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata demikian pada Majlis Perasmian TSG Station dan Memperkenalkan Pelumba Serta Barisan Penaja di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif TSG, Datuk Tengku Farok Hussin  Tengku Abdul Jalil, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TSG, Ahmad Farhan  Abdul Wahab.


Rozi berkata, jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi memilih pelajar yang berkelayakan termasuk mempelawa kanak-kanak yang memiliki basikal lajak untuk  mencuba nasib.

“Saya melihat mereka ini sangat berbakat, jika diberi peluang dan terpilih untuk bersama-sama menyertai akademi, sekurang-kurangnya mereka tidak lagi melepak di lokasi tertentu sehingga larut malam.  

“Buat permulaan seramai 30 pelajar di bangku sekolah rendah dengan mengutamakan anak jati Terengganu akan diserap bagi memberi pendedahan di akademi itu yang berpusat di Kuala Terengganu.

“TSG akan mengendalikan akademi tersebut sepenuhnya termasuk modul pelaksanaannya,""katanya.


Tag: