• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Tuan Faizah Bawa Pulang Baka Strawberi 'Rare'

MARANG, 23 Oktober - Galeri Madu Big Bee yang diusahakan Nor Ehsan Abd Rahman @ Draman, 42 dan dibantu anaknya Nor Alya Syamimi Nor Ehsan, 18, di kampung Jambu Bongkok mendapat perhatian Isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman baru-baru ini.

Menurut Tuan Faizah, beberapa baka tanaman strawberi yang unik dan tidak terdapat di Pusat Informasi Pertanian Bandar Kediaman Seri Setia mengundang beliau untuk hadir ke galeri terbabit.

"Di samping menambah koleksi tanaman dan jenis baka yang unik di Seri Setia, pelbagai ilmu dan maklumat berkaitan pertanian yang dikongsikan bersama boleh dimanfaatkan sebaik mungkin.

"Antara spesis yang dibawa pulang adalah jenis Snow Rabbit dan Kabarla," jelasnya selepas kunjungan tersebut.

Buah Strawberi spesis Japanese Sweet Charlie' (JSC) yang terdapat di Galeri Madu Big Bee

Sementara itu, Nor Ehsan berkata perniagaan itu ditubuhkan bermula 17 tahun lalu iaitu pada tahun 2003 ketika masih di bawah syarikat 'Four NJaya Trading'.

Kemudian katanya, pada 2008, beliau memutuskan untuk bertukar kepada Big Bee Honey Sdn Bhd dan mengusahakan penternakan lebah serta lebah kelulut.

"Di galeri ada lima jenis madu iaitu Madu Lebah Akasia, Madu Lebah Tualang (Manis), Madu Lebah Tualang (Pahit), Madu Kelulut Akasia, dan Madu Kelulut Hutan.

"Manakala pokok Strawberry yang pernah diusahakan pula sebanyak 27 spesis, antaranya adalah Japanese Sweet Charlie' (JSC), Shogun, Snow Rabbit, Sweet Charlie, Ruby Gem, Kabarla, Kamilla dan lain-lain.

"Pelanggan atau pelancong boleh mempelajari ilmu penternakan dan kehidupan lebah dan lebah kelulut. Selain itu, mereka juga berpeluang untuk merasai sendiri pelbagai jenis madu.

"Mereka juga dapat mengetahui kaedah pertanian bandar dan pelbagai jenis tanaman lain seperti salah satunya ialah tanaman strawberi tanah rendah," tambahnya lagi.

Minat Nor Ehsan dalam bidang berkenaan sangat mendalam sehingga melayakkannya menjadi ikon pelancongan di negeri Terengganu.

Nor Ehsan juga dapat menjayakan konsep ladang kontrak dan dalam masa yang sama memudahkan transformasi perkongsian ilmu.


Tag: