• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

Tujuh Lokasi Baharu Zon Bebas Asap Rokok Dikenalpasti

KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Tujuh lokasi telah dikenalpasti untuk digazetkan sebagai kawasan Terengganu Bebas Asap Rokok (TBAR) di negeri itu sebelum akhir tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, apabila siap digajetkan, Terengganu akan memiliki lapan zon TBAR di seluruh negeri bertujuan meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup rakyat Terengganu daripada kesan perokok pasif melalui persekitaran yang bebas asap.

Menurutnya, sehingga kini, Terengganu hanya  mempunyai satu zon TBAR yang diwartakan pada tahun 2018 iaitu kawasan tumpuan pelancong di Batu Buruk (daerah Kuala Terengganu).

"Kawasan yang dikenal pasti di Kemaman ialah Taman Bandar Chukai, daerah Dungun (Arena Merdeka), Marang (Pantai Pulau Kekabu) dan Hulu Terengganu (Pasar Awam Kuala Berang).

"Selain itu, di Kuala Nerus ialah
Pesisir Pantai Teluk Ketapang, di Setiu pula Kawasan Jeti Pelancongan Merang manakala di Besut ialah kawasan Kota Putera Square," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam Siri 3/2024 di Pantai Batu Buruk di sini semalam.

Tambahnya, proses pewartaan itu mengambil masa yang agak lama kerana memerlukan libat urus pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan pemegang taruh yang lain.

Sementara itu, sejak 2018, JKNT telah mengeluarkan notis sebanyak 7,800 pelbagai kesalahan merokok di TBAR Batu Buruk.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 5,409 telah ditawarkan kompaun dengan nilai sebanyak 1.35 juta.

"Jabatan akan terus mempergiatkan pemantauan dan tahap kesedaran orang ramai agar tidak merokok di kawasan tersebut," katanya.