• 20 Mei 2024 | 12 Zulkaedah 1445

Tun Ahmad Faisal Kemudi Kontinjen Terengganu ke SUKMA XXI Sarawak

KUALA TERENGGANU, 9 Mei- Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu (Pembangunan), Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak ditauliahkan secara rasmi sebagai Ketua Kontinjen (CDM) SUKMA Terengganu yang bakal bersaing di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak 2024 pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Pentauliahan disampaikan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Perhimpunan Kontinjen SUKMA Terengganu 100 Hari Menjelang SUKMA XXI Sarawak di Wisma Darul Iman, semalam.

Selain itu, Datuk Bandaraya Kuala Terengganu, Dato' Rosli Latif dan Ketua Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, Maldiana Abd Patah turut dilantik sebagai Timbalan Ketua Kontinjen (TCDM).

Pelantikan itu merupakan tanggungjawab kali kedua berturut-turut buat Tun Ahmad Faisal setelah mengetuai kontinjen Terengganu menyandang Naib Juara keseluruhan di SUKMA XX, MSN 2022 yang lalu dengan pungutan 64 Emas, 49 Perak dan 56 Gangsa.

Sekalipun bergelar naib juara, pencapaian 64 Emas menjadi pencapaian terbaik kontinjen Terengganu di temasya sukan itu.

Dalam majlis berkenaan, Dr. Samsuri diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim juga menyempurnakan penyampaian Watikah Pelantikan Bapa Angkat dan Jabatan Angkatkepada Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ahli parlimen serta ketua-ketua jabatan.

Hadir sama dalam sesi terbabit ialah Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja dan pegawai kewangan negeri, Dato' Nara Setia.

Pelantikan itu menjadi tradisi kontinjen negeri sebagai strategi untuk meraih sokongan moral serta suntikan semangat daripada pelbagai peringkat kepimpinan negeri.

Penganjuran SUKMA Sarawak 2024  menawarkan 488 acara daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan.

Kontinjen Terengganu akan bersaing dalam 36 jenis sukan kecuali sukan Bola Keranjang.

Kini, kontinjen Terengganu telah memasuki fasa akhir persiapan dan latihan dengan berbaki 100 hari lagi menjelang temasya terbesar peringkat nasional itu.


Tag: