• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Tunggakan Royalti, Tunggu Jawapan MOF- Dr Sam

KUALA TERENGGANU, 7 Mac- Kerajaan negeri ketika ini masih menunggu jawapan daripada pihak Kementerian Kewangan (MOF) berhubung tunggakan pembayaran royalti minyak atau Wang Ehsan oleh kerajaan Persekutuan kepada Negeri Terengganu untuk tahun lalu. 

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, MOF dijangka akan memberikan maklum balas berhubung status bayaran tunggakan royalti minyak itu pada sidang Dewan Rakyat minggu hadapan. 

"Saya taknak bagi komen apa-apa sehingga Yang Berhormat Menteri (Kewangan) akan menjawab pada hari Isnin ini.

"Jadi, jawapan bagi pihak kementerian akan bermula pada hari Isnin selama satu, dua, tiga hari la kalau tidak silap saya sampai Rabu.

"Kementerian Kewangan adalah pada penggiliran yang pertama dalam aturan Mesyuarat pada hari Isnin, sebelum saya beri apa-apa komen, saya akan tunggu jawapan daripada pihak kementerian dahulu, " ujarnya.

Beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Kemaman berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan 30 Tahun Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), hari ini.