Jalur Gemilang
Berita :
Ubi Lekor Sasar Pasaran B2B Sebelum Tembusi Pasaran Global
Ubi Lekor Sasar Pasaran B2B Sebelum Tembusi Pasaran Global
Rohayati Ripin
10 Sep 26
4

KUALA TERENGGANU, 10 September – Produk tempatan berasaskan ubi keledek, Ubi Lekor menyasarkan pengembangan pasaran perniagaan kepada perniagaan (B2B) di dalam negara sebelum melangkah lebih jauh ke pasaran antarabangsa.

Pengurus Jualan dan Pemasaran Ubi Lekor, Amirul Amien Arifin, 29, berkata, produk yang berada di pasaran lebih setahun itu mempunyai potensi besar untuk digunakan dalam pelbagai produk makanan dan perusahaan bakeri.

Menurutnya, Ubi Lekor yang telah diproses dan dimaniskan sesuai dijadikan bahan asas untuk menghasilkan pelbagai juadah tradisional seperti kuih keria, cek mek molek dan ubi lambung.

“Visi masa depan kami adalah untuk menjadikan Ubi Lekor sebagai salah satu jenama produk tempatan Malaysia yang mampu dieksport ke luar negara.

“Antara perancangan kami adalah untuk meneroka pasaran China, namun pada peringkat awal kami mahu memberi fokus kepada pasaran B2B dan memperkukuhkan produk tempatan terlebih dahulu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Market Innovation Showcase 2026 dan Peluncuran Studio TikTok Shop Live @ Hab Digital Niaga Terengganu, hari ini.

Amirul menambah, ketika ini sebanyak 80 peratus jualan Ubi Lekor dijana secara luar talian manakala 20 peratus lagi menerusi platform dalam talian dengan TikTok Shop menjadi saluran utama pemasaran digital.

Katanya, pendekatan secara B2B membolehkan produk itu dibekalkan kepada peniaga, pengusaha bakeri dan pengeluar makanan yang mahu mengembangkan perniagaan serta memudahkan operasi mereka.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan program padanan antara penjual dan affiliate menerusi TikTok sebagai platform yang sangat membantu, khususnya kepada usahawan baharu untuk memperluaskan jaringan pemasaran.

“Dunia perniagaan sekarang semakin moden dan maju. Sebagai penjual, kita perlu bergerak seiring dengan arus pemodenan kerana itu antara cara untuk mengembangkan perniagaan.

“Program seperti ini membuka peluang kepada penjual baharu untuk meluaskan jaringan dan memperkenalkan produk kepada pasaran yang lebih besar,” ujarnya.

Justeru itu, beliau turut berharap kerajaan negeri dapat memperbanyakkan program seumpama itu bagi membantu usahawan baharu mengatasi kekangan dalam memperluaskan perniagaan.

“Saya sangat bersyukur kerana kerajaan negeri membantu usahawan yang baru bermula untuk meluaskan jaringan dan menjadikan produk mereka lebih dikenali di pasaran tempatan mahupun global,” tambah beliau.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan