Jalur Gemilang
Berita :
‘Awang Kolam’ berjaya ditangkap PERHILITAN
‘Awang Kolam’ berjaya ditangkap PERHILITAN
Azhar Yusof
4 jam yang lepas
116

 HULU TERENGGANU, 13 September – Seekor gajah jantan liar berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu selepas dikesan berkeliaran di sekitar Kampung Kolam, Ajil, di sini.

Pengarah PERHILITAN Terengganu, Dennis Ten Choon Yung berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kehadiran gajah berkenaan pada 10 September lalu sebelum satu operasi digerakkan bagi menangani kehadiran haiwan terbabit.

Katanya, seramai enam anggota PERHILITAN Hulu Terengganu terlibat dalam operasi berkenaan dan gajah tersebut berjaya ditambat kira-kira jam 5.30 petang.

“Berdasarkan pemerhatian awal, gajah jantan berkenaan berada dalam keadaan sihat dan stabil.

“Ukuran tapak kakinya pula kira-kira 15 inci (38 sentimeter),” katanya.

Menurut beliau, gajah terbabit akan terus dipantau sebelum dipindahkan ke lokasi yang bersesuaian.

Katanya, sepanjang tempoh pemantauan, pihak PERHILITAN turut menyediakan makanan berupa batang pisang sebanyak dua kali sehari.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri atau mengganggu gajah berkenaan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Kehadiran gajah liar di kawasan penempatan sebelum ini turut mencetuskan kebimbangan penduduk dan pengguna jalan raya di sekitar kawasan berkenaan.

Gajah tersebut kemudiannya mendapat perhatian orang ramai dan digelar secara tidak rasmi sebagai ‘Awang Kolam’. 


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan