• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

UC TATI Anjur Seminar VISRAWET 2020 Secara 'Zoom'

KUALA TERENGGANU, 19 Disember - Kolej Universiti Tati (UC TATI) menganjurkan Seminar Antarabangsa Penuaian Air Hujan : Kejuruteraan dan Teknologi (VISRAWET 2020) secara dalam talian menerusi aplikasi 'Zoom' pada 17 dan 18 Disember lalu.

Rektor UC TATI, Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, penganjuran seminar tersebut turut mendapat kerjasama Kementerian Alam Sekitar dan Air Malaysia serta Yayasan Amal Malaysia.

Katanya, VISRAWET 2020 bertujuan mencari kaedah yang dapat membantu rakyat Malaysia dan komuniti lain untuk menggunakan sumber daya lestari dengan cara yang lebih cekap melalui penuaian dan penggunaan balik hujan dalam pelbagai aplikasi.

"Topik yang dibincangkan antaranya taburan hujan di negeri-negeri yang berbeza di Malaysia.

"Penuaian dan rawatan air hujan dalam skala domestik dan besar serta lain-lain lagi," ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Katanya, penganjuran VISRAWET 2020 yang julung kali diadakan secara maya itu dirasmikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air Malaysia, Dato' Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan melibatkan sekitar 200 peserta daripada seluruh dunia. 

"Majoriti peserta daripada negara ASEAN yang terdiri daripada ahli akademik, pegawai kerajaan, profesional dan orang awam.

Menurut beliau, antara resolusi yang dicapai menerusi seminar tersebut termasuk takungan air hujan dengan saiz bersesuaian di lokasi yang sepatutnya perlu diwujudkan dengan peruntukan daripada kerajaan.

"Ini kerana usaha tersebut boleh dimanfaatkan sebagai sumber air semasa musim kemarau dan pengurangan air hujan ketika musim banjir," ujarnya 

Katanya, kerajaan juga perlu membuat dasar baharu berkenaan penggunaan bahan yang sesuai untuk atap dan longkang bagi tujuan penuaian air hujan.

"Kolaborasi antara kerajaan dan swasta bagi mengalakkan industri dan sektor awam untuk memanfaatkan air hujan melalui ketersediaan komponen dan aksesori dengan kos berpatutan bagi penuaian air hujan perlu diusahakan," jelasnya.


Tag: