• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

UC TATI Terengganu Tawar RM6.4 Juta Biasiswa

KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Peluang keemasan dibuka kepada pelajar yang layak dengan kerajaan negeri melalui University College TATI (UC TATI) kini menawarkan biasiswa sebanyak RM6.4 juta.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tawaran tersebut dibuka kepada pelajar baharu bagi kemasukan Mei dan September 2021.

Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

"Biasiswa yang dinamakan sebagai Biasiswa UC TATI DIHATIKU ini membuka peluang kepada pelajar yang layak bagi mengikuti program peringkat Asasi dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat.

"Nilai biasiswa ini adalah berjumlah RM9,000 seorang sepanjang pengajian meliputi yuran pengajian, penginapan di kolej kediaman serta menerima elaun sara hidup sebanyak RM200 setiap bulan pengajian," katanya pada Majlis Pelancaran Biasiswa UC TATI DIHATIKU di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pelaksanaan Syariah dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat dan Rektor UC TATI, Prof Dr Anuar Ahmad.

Dalam perkembangan sama, menurut Ahmad Samsuri, UC TATI menyediakan 1,300 tempat bagi kemasukan pelajar baharu bagi sesi pengajian 2021/2022.

"UC TATI menawarkan 1 program Ijazah Doktor Falsafah, 3 program Sarjana, 11 program Ijazah Sarjana Muda, 13 program Diploma dan 2 program Asasi dalam pelbagai bidang antaranya pembuatan, automasi, elektrikal, ujian tanpa musnah, kimia, polimer, komputer, pengurusan teknologi dan media grafik," ujarnya.

Tambah beliau, di samping biasiswa peringkat Asasi, UC TATI turut menyediakan elaun sara hidup kepada pelajar Diploma sebanyak RM200 sebulan bersamaan RM4,800 sepanjang pengajian.

"Sementara pelajar Ijazah Sarjana Muda akan menerima elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan bersamaan RM6,400 sepanjang pengajian. Pengurangan yuran pengajian juga ditawarkan kepada yang layak," jelasnya.


Tag: