• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

UMT Buka Pusat Pemprosesan Makanan Inovatif Bantu Lahir Usahawan Di Kalangan Belia B40

KUALA TERENGGANU, 31 Januari - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyokong inisiatif dilaksanakan Syarikat Honey Melon World Sdn Bhd dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan di kalangan belia B40 melalui pembukaan Pusat Pemprosesan Makanan Inovatif di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT), Manir di sini.

Naib Canselor UMT, Prof Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, Syarikat Honey Melon World merupakan syarikat ‘start-up’ di bawah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), UMT yang mana pengurusan tertinggi syarikat adalah dari kalangan para penyelidik UMT.

“Berkat usaha dan keazaman para penyelidik UMT serta kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), syarikat terus berkembang dan telah berjaya menghasilkan produk makanan seperti lasagna daging, jus melon manis Terengganu dan MMT Ice Cream di pusat pemprosesan ini.

“Selain berupaya mengeluarkan produk manakan inovatif yang berkualiti dan dijamin dari segi halalnya, pembukaan pusat pemprosesan makanan inovatif ini secara tidak langsung dapat menyokong komuniti setempat melalui galakan dan peluang kepada anak-anak B40 menceburi bidang perniagaan dengan mendapatkan latihan di sini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Pemprosesan Makanan Inovatif di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT), Manir di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Afnida Aini Alwi.

Mengulas lanjut katanya, pusat itu berupaya memberikan kemudahan dan persediaan kepada usahawan bagi mengembangkan lagi perniagaan melalui jalinan kerjasama melibatkan kepakaran UMT dalam mencipta produk baharu.

“Kita sasarkan pusat pemposesan makanan ini bakal mengeluarkan pelbagai lagi produk manakan inovatif yang berkualiti dan dijamin halal,” ujarnya.

“Malah, pusat ini berupaya membuka peluang pekerjaan baharu kepada komuniti setempat dan merancakkan lagi aktiviti ekonomi di kawasan ini selain memberi manfaat besar kepada usahawan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS),” katanya.