• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

UMT Jalin Kerjasama Dengan NEST

KUALA TERENGGANU, 16 April- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari (IBTPL) UMT memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST).

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, melalui kerjasama tersebut, IBTPL telah merangka pelbagai program termasuk usaha pembangunan modal insan dalam melahirkan pemandu pelancong (guide) yang terdiri daripada komuniti setempat dan memberi pendedahan berkenaan pengetahuan aktiviti pencerapan burung di beberapa lokasi dalam negara.

Katanya, jalinan kerjasama itu bakal memberi manfaat kepada penyelidik dan juga komuniti sekitar.

“Pemeteraian MoU ini juga akan membawa pelbagai manfaat khususnya kepada komuniti tempatan melalui program pemindahan ilmu antara penyelidik UMT serta kepakaran daripada pihak NEST berkaitan ilmu biodiversiti serta aktiviti lain seperti pencerapan burung, pengenalan dan pengecaman kepada spesies burung yang terdapat di kawasan tertentu khususnya Tasik Kenyir.

“Usaha ini mampu merancakkan lagi aktiviti ekonomi dengan kehadiran pelancong sekaligus memberi limpahan rezeki kepada pengusaha rumah inap, resort, pengusaha makanan dan produk makanan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kepakaran yang dimiliki UMT dan kelebihan fasiliti stesen penyelidikan serta sokongan daripada NGO mampu memberi impak besar kepada sektor pembangunan dan pelancongan di Tasik Kenyir.

Sementara itu, penyelidik UMT, Dr. Siti Norasikin Ismail menganggap kolaborasi itu merupakan platform terbaik bagi kerja-kerja penyelidikan selain penghasilan bahan penerbitan berimpak melalui perkongsian sumber serta kepakaran dalam pelbagai bidang seperti pemeliharaan biodiversiti, pembangunan mampan dan kelestarian alam.