KUALA NERUS, 2 Februari — Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjadi institusi pengajian tinggi pertama di Malaysia memiliki kemudahan Wave Circulation Flume Channel (WCFC) berteknologi tinggi bagi memperkukuh keupayaan penyelidikan marin dan kejuruteraan maritim negara.
Perkara itu dimaklumkan sempena lawatan rasmi Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Anesee Ibrahim ke kemudahan tersebut baru-baru ini.
Naib Canselor UMT, Prof Ir Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata pemilikan WCFC merupakan pelaburan strategik universiti dalam memperkukuh ekosistem pendidikan, penyelidikan dan inovasi marin.
Beliau berkata kemudahan itu bukan sahaja meningkatkan keupayaan penyelidikan berimpak tinggi, malah membantu melahirkan graduan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri maritim dan luar pesisir.
WCFC yang diperoleh menerusi peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) itu merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dengan sistem bersepadu melibatkan penjanaan ombak pintar, peredaran arus, penjanaan angin serta aliran terkawal dalam satu platform eksperimen.
Menurut kenyataan itu, kemudahan tersebut turut menyokong pengajaran dan pembelajaran beberapa program utama UMT serta pelbagai kajian termasuk ujian rintangan kapal, analisis sistem tambatan, kejuruteraan pesisir dan penyelidikan tenaga boleh diperbaharui marin.
UMT memaklumkan pentauliahan WCFC itu dijangka mengukuhkan peranannya sebagai pusat kecemerlangan kejuruteraan maritim dan lautan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.