• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

UMT Peruntuk RM7,000 Untuk Juadah Iftar Pelajar Setiap Hari

KUALA TERENGGANU, 14 Mac- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) tidak melepaskan peluang untuk menyediakan iftar kepada mahasiswa yang memerlukan setiap tahun.

Timbalan Pengarah PISM, Faizah Ismail berkata, pihaknya memperuntukkan RM7,000 bagi menyediakan juadah iftar kepada 500 hingga 1000 pelajar setiap hari. 

“Tahun ini PISM, UMT akan meneruskan tradisi iftar ramadan untuk semua pelajar yang memerlukan.

”Tajaan iftar adalah sumbangan warga UMT sendiri sama ada melalui potongan gaji ke Tabung Infaq Ramadhan, sumbangan individu dan sumbangan Pusat Tanggungjawab,” ujarnya dalam satu kenyataan Pejabat Komunikasi Korporat, UMT, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, konsep makan bertalam (makan dalam dulang) yang dikongsi antara empat hingga lima orang turut dikekalkan semasa iftar di PISM. 

“Konsep ini adalah untuk menghidupkan sunnah Rasulullah SAW yang semakin dilupakan walaupun ia dijanjikan ganjaran pahala berlipat ganda,” ujarnya.

Sementara itu katanya, bagi memberi keselesaan kepada ibu bapa menunaikan solat tarawih di masjid UMT, pihak PISM turut menyediakan kemudahan nurseri untuk kanak-kanak berumur dua tahun hingga lima tahun. 

“Nurseri ini dibuka kepada staf UMT dan komuniti setempat yang mengikuti tarawih di PISM.

“Pelbagai aktiviti menarik juga disediakan untuk anak-anak disamping peralatan mainan yang disediakan pihak PISM sendiri. 

“Jagaan kanak-kanak ini turut dibantu oleh sukarelawan asnaf pelajar UMT yang mendapat manfaat daripada bantuan zakat yang diagihkan oleh pihak PISM,” ujarnya.

Justeru katanya, orang ramai dialu-alukan untuk menyumbang ke tabung Infaq Ramadhan, UMT untuk sama-sama membantu program pengimarahan masjid UMT.