• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

UniSZA Sedia Laksana Konvokesyen Secara Maya

KUALA NERUS, 30 Mei - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal menjadi universiti awam pertama dalam melaksanakan majlis konvokesyen secara maya melalui penggunaan teknologi robot dan persidangan video.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata usaha ini dilihat sangat relevan dengan keadaan dunia pada waktu sekarang yang sedang berusaha melawan penularan wabak virus COVID19 melalui kaedah penjarakan sosial serta pengurangan pergerakan yang tidak perlu.

Katanya, melalui alternatif konvokesyen secara maya ini, majlis konvokesyen dapat dilaksanakan dengan selamat dan efektif.

Jelas beliau, UniSZA sebelum ini telah mencipta sejarah tersendiri apabila menampilkan robot yang diberi nama ‘Naseem’ ketika menyampaikan skrol pada Majlis Konvokesyen ke-11 pada Oktober 2019.

"Kini UniSZA telah berjaya menghasilkan robot kedua yang diberi nama ‘Seebaa’ sebagai pasangan kepada Naseem yang dibangunkan oleh penyelidik-penyelidik UniSZA dari Kumpulan Penyelidikan Mechanical, Electronic, Computing and Arts (MECCA).

“UniSZA bersedia memanfaatkan kedua-dua robot ini sebagai alternatif sekiranya majlis konvokesyen secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan.

"Dalam majlis Konvokesyen tersebut, Tuanku Canselor akan menganugerahkan skrol kepada robot yang mewakili graduan manakala  graduan akan menyaksikan upacara tersebut secara langsung melalui persidangan video dari tempat masing-masing sama ada mereka berada di dalam negara mahupun di luar negara," ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kesediaan UniSZA melaksanakan konvokesyen secara maya ini telah dibuktikan melalui penularan video simulasi konvokesyen secara maya yang telah dikeluarkan oleh pihak UniSZA.

Menerusi video ini, Naib Canselor UniSZA dilihat menganugerahkan skrol kepada dua robot yang mewakili pelajar-pelajar UniSZA yang mana wajah mereka dipaparkan secara langsung melalui persidangan video pada kepala robot tersebut. Malah, beliau juga dilihat dapat berinteraksi secara langsung dengan pelajar-pelajar tersebut.