• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Usaha Berterusan Realisasi Pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Tunggal Baharu

KUALA TERENGGANU, 25 April- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan memanjangkan permohonan pengambilan tanah kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pertimbangan dan seterusnya memulakan proses perolehan setelah mendapat kelulusan berhubung pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Tunggal yang baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, terdahulu satu lawatan tapak bagi cadangan tapak baru untuk Klinik Kesihatan Bukit Tunggal telah dibuat pada 14 FebruAri lalu melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal iaitu Sr. Zaharuddin Zahid, wakil Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, wakil Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus dan wakil Klinik Kesihatan Bukit Tunggal.

"Hasil daripada lawatan tersebut, JKNT mendapati kedudukan dan keluasan tanah (7.080 ekar) yang dicadangkan oleh ADUN Bukit Tunggal iaitu di Kampung Banggul Baruh, Kuala Nerus adalah strategik bagi pembinaan klinik kesihatan baharu.

"Pihak JKNT mendapati kedudukan dan keluasan tanah yang dicadangkan oleh beliau adalah strategik dan kawasan sekitar di dalam tempoh pembangunan (perumahan)," ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan ADUN Bukit Tunggal, Sr. Zaharuddin Zahid berhubung setakat mana perkembangan berkenaan cadangan tapak baru untuk Klinik Kesihatan Bukit Tunggal pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, semalam.

Katanya, Zaharuddin turut bersetuju untuk tapak berkenaan diberikan khas kepada KKM setelah didapati Klinik Kesihatan sedia ada berlaku kesesakan dan padat, bagi kepentingan perkhidmatan kesihatan yang lebih optimum dan efisien.

"Sehubungan itu, pihak JKNT ini akan memanjangkan permohonan pengambilan tanah kepada pihak KKM untuk pertimbangan. Namun begitu, terdapat keperluan untuk menaik taraf infrastruktur jalan ke lokasi tapak cadangan, " ujarnya.

Menurut beliau, cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Tunggal bagi menggantikan klinik kesihatan sedia ada akan dimasukkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-14 [RMK-14 (Tahun 2031-2035)].

"Pembinaan klinik ini akan dapat menampung pertambahan populasi melebihi 50,000 orang dengan kedatangan pesakit sehingga 800 orang sehari di kawasan Bukit Tunggal, " jelasnya.