• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Utamakan Keselamatan Dalam Keghairahan Bercuti

MARANG, 7 Februari - Pengguna jalan raya dinasihatkan lebih berhati-hati dan mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak bertanggungjawab bagi mengelakkan kecelakaan dalam kesibukan pulang bercuti.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim berkata, keselamatan perlu diutamakan dalam dalam keghairahan sambutan musim perayaan. 

"Kita harap semua akan berhati-hati kerana keselamatan jalan raya banyak bergantung kepada pengguna itu sendiri.

"Tambah-tambah, jalan raya kini turut dilalui lembu, binatang lain yang membuatkan kita bimbang risiko yang menanti.

"Kita harap semua pengguna memahami aspek keselamatan termasuk kecuaian manusia, kalau tidak berhati-hati mungkin akan mengakibatkan kecelakaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Sambutan Musim Tahun Baru Cina di perkarangan Shell Wakaf Tapai, hari ini.

Kempen diadakan dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) dan pelbagai agensi dalam usaha membina gelombang kefahaman bahaya di jalan raya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Terengganu; Dato' Wan Rukman Wan Hassan, Pengarah JPJ Terengganu; Zulkarnain Yasin, 

ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Pegawai Daerah Marang, Zulkifli Isa.

Kempen itu turut melibatkan anak-anak syarikat kerajaan negeri antaranya Terengganu Inc, Syarikat Air Terengganu (SATU), TDM Berhad dan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT).


Tag: