KUALA TERENGGANU, 1 Februari – Pencerobohan vesel pukat tunda yang dikenal pasti sebagai vesel bertenda kuning dari negeri jiran di perairan Terengganu mengakibatkan kerugian dianggarkan mencecah jutaan ringgit, susulan kerosakan unjam, tukun tiruan serta peralatan nelayan tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, aktiviti pencerobohan itu melibatkan bot pukat tunda Zon C dan C2 yang beroperasi secara haram di kawasan kurang 12 batu nautika dari pantai Terengganu.

"Mereka telah melakukan 2 kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di zon yang dikhususkan untuk nelayan negeri tersebut dan melakukan aktiviti pukat tunda di zon yang tak dibenarkan.
"Zon yang dibenarkan aktiviti pukat tunda ialah jarak 12 batu nautika ke atas. Bukan hanya nelayan negeri jiran malah nelayan Terengganu juga tak dibenarkan menggunakan pukat tunda dalam zon kurang dari 12 batu nautika.
"Dalam beberapa operasi penguatkuasaan yang saya sertai sendiri, banyak bot pukat tunda tenda kuning negeri jiran yang kita telah tahan sedang menunda hanya pada jarak 6 atau 7 batu nautika sahaja dari pantai Terengganu.
"Ini adalah zon tangkapan nelayan sampan zon A Negeri Terengganu," katanya menerusi satu hantaran Facebook, baru-baru ini.
Dr. Azman mendedahkan, satu kejadian dimana sebuah bot pukat tunda dari negeri jiran ditahan pada kira-kira jam 1.40 pagi ketika sedang menunda pada jarak lapan batu nautika dari Kuala Dungun, sekali gus melakukan dua kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

"Dalam zon inilah kita labuhkan tukun dan unjam. Mari pukat tunda mereka kokok habis! Tekong dan krew bot warga asing kebanyakkannya dari Myanmar. Apakah pemilik bot pukat tunda negeri jiran tidak memahamkan tekong dan krew bot mereka dengan undang-undang yang perlu dipatuhi?
"Undang-undang ini bukan Kerajaan Terengganu yang buat. Bila disebut Akta Perikanan 1985 bermakna ia digubal di Parlimen. Undang-undang yang digubal di Dewan Undangan Negeri dipanggil Enakmen," tegasnya.
Tegasnya lagi, penguatkuasaan akan terus diperkasakan tanpa mengira asal negeri vesel terlibat, memandangkan undang-undang perikanan merupakan peruntukan yang digubal di peringkat Parlimen dan wajib dipatuhi oleh semua pihak.