• 26 Jul 2021 | 16 Zulhijah 1442

Wad Kelas Ketiga Percuma Bermula 1 Julai

KUALA NERUS, 17 Jun - Pelaksanaan caj percuma bagi wad kelas ketiga bagi seluruh hospital kerajaan di Terengganu akan dilaksanakan bermula 1 Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak memaklumkan, dianggarkan kira-kira 1.2 juta rakyat Terengganu akan menerima manfaat pelaksanaan manifesto PAS Terengganu bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 itu.

"Kita telah melalui proses yang panjang untuk melaksanakan satu lagi manifesto bagi memenuhi janji kepada rakyat iaitu untuk melaksanakan rawatan kelas ketiga percuma. Alhamdulillah, persiapan kita dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan Persekutuan kini dilaksanakan, terima kasih bagi membantu menjayakan program ini di Terengganu.

"Caj Wad Kelas Ketiga Percuma ini akan melibatkan enam buah hospital iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Hospital Dungun, Hopsital Kemaman, Hospital Setiu, Hospital Besut dan Hospital Hulu Terengganu melibatkan anggaran 1,390 buah katil secara keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, semalam.

Jelasnya, golongan yang menerima faedah program tersebut ialah semua pemegang kad pengenalan Terengganu merangkumi caj katil, makan minum dan rawatan.

"Semua caj ini adalah percuma dan ditanggung oleh kerajaan negeri melibatkan jumlah kira-kira kos RM3.7 juta setahun.

"Berdasarkan rekod kita dapati jumlah rakyat yang mendapatkan rawatan dan menggunakan wad dalam tempoh setahun adalah sekitar 90 ribu orang. 

"Buat masa ini, program ini tidak terpakai kepada bukan rakyat Terengganu, namun akan dipertimbangkan untuk lebih baik pada masa akan datang atau mereka yang tidak bernombor kad pengenalan 11 tetapi mengundi di Terengganu turut dapat mendapat manfaat ini. Ini kerana, kita fokus untuk meringankan golongan berpendapatan rendah (B40) yang terbeban dengan pendapatan harian dan sebagainya.

"Bagaimanapun, insya-Allah, selagi PAS Terengganu terus memerintah, caj percuma wad kelas ketiga akan diteruskan," katanya.