• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'Walk For Peace' Tarik 1,400 Peserta

KUALA TERENGGANU, 29 Januari - Program Terengganu Walk For Peace 2024 yang diadakan sempena Karnival Sukan Wanita Terengganu mendapat sambutan memberangsangkan apabila 1,400 peserta menyertai acara berkenaan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, acara berjalan kaki sejauh 3.5 kilometer di sekitar Dataran Batu Burok itu disertai oleh pelajar tingkatan satu hingga empat daripada 16 buah sekolah menengah agama di negeri ini.

“Program ini adalah salah satu pengisian sempena Karnival Sukan Wanita pada kali ini dan kita sangat mengalu-alukan program sebegini untuk menaikkan martabat sukan di Negeri Terengganu.

“Selama ini dari segi penglibatan dalam aktiviti sukan ramai lelaki tetapi hari ini dengan inisiatif baru daripada penganjur, dapat kita lihat ramai pelajar perempuan yang turut serta dalam acara yang berbentuk santai sebegini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Penutup Karnival Sukan Wanita Terengganu dan Program Terengganu Walk For Peace 2024 di Dataran Baru Burok, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai Karnival Sukan Wanita Terengganu yang berlangsung pada 25 hingga 28 Januari di Stadium Negeri, Mohd Fadhli berkata, kerajaan negeri tidak sesekali menyekat wanita untuk bersukan tetapi perlu mematuhi konsep pemakaian patuh syariah.

 “Karnival ini terbuka untuk semua wanita, kita sangat alu-alukan. Selain untuk menggalakkan wanita terlibat dalam aktiviti sukan, dalam masa yang sama kita hendak dedahkan kepada rakyat Terengganu bahawa wanita juga layak untuk bersukan tetapi perlu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

“InsyaAllah kita akan usahakan supaya karnival ini menjadi acara tahunan yang akan memfokus kepada wanita sahaja dengan menambahbaik acara dan aktiviti yang diadakan,” ujarnya.

Terdahulu, beberapa pertandingan seperti bola jaring, bola tampar dan ping pong telah berlangsung dalam suasana meriah sepanjang empat hari karnival.