• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Wan Nawawi Dilantik Pengerusi TDM Berhad Baharu


Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail dilantik sebagai Pengerusi TDM Berhad baharu berkuatkuasa 29 Ogos lepas.

Pelantikan beliau bagi menggantikan Tan Sri Wan Abu Bakar Wan Omar yang meninggal dunia 29 Julai lalu.

Pengarah Urusan TDM Berhad, Dato’ Mohamat Muda berkata, beliau serta Ahli Lembaga Pengarah mengalu-alukan perlantikan Wan Nawawi dan akan memberi kerjasama di bawah pimpinannya.

“Kami yakin, beliau dapat membawa TDM ke tahap yang lebih tinggi untuk mencapai matlamat seperti yang dibentangkan dalam Model Transformasi TDM 2022,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Nawawi sebelum ini pernah berkhidmat dalam pelbagai jawatan di bahagian Perkhidmatan Awam Negeri Terengganu termasuk sebagai Pegawai Kewangan Negeri, Pegawai Daerah Kuala Terengganu dan Setiu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Projek Khas), Timbalan Pengarah Perancangan Ekonomi Negeri Terengganu Unit (SEPU) dan Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu

Wan Nawawi yang berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Bandar Oklahoma, Amerika Syarikat memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Awam Terengganu pada tahun 1981 dan mempunyai pengalaman luas dalam sektor awam setelah berkhidmat dalam pelbagai peranan yang besar untuk negeri.

Beliau telah dinaikkan pangkat dengan memegang jawatan kanan dan kini sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri sejak Ogos 2016.


Tag: