• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Wan Sukairi Rai 102 Bakal Mahasiswa Dari DUN Wakaf Mempelam

KUALA TERENGGANU, 17 September – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah mengambil peluang meraikan 102 orang bakal mahasiswa dan mahasiswi dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri berkata, program ramah mesra ini bertujuan untuk meraikan kejayaan 102 orang pelajar terbabit melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA,IPTS) bersama ibu bapa mereka.

“Saya mengharapkan anak-anak kita ini akan membentuk masyarakat yang berilmu, dan menjadi pelapis dalam membangunkan kampung, daerah, negeri dan negara kita pada masa hadapan.

“Pada peringkat pertama kira-kira dua bulan yang lepas, kita telah sambut dari rumah ke rumah seramai 100 orang pelajar keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2019. Lawatan melalui 34 buah kampung itu untuk meraikan para pelajar yang bakal menyambung pelajaran ke pelajaran matrikulasi, asasi dan diploma,” ulasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Program ramah mesra ADUN Wakaf Mempelam bersama para pelajar ijazah pertama sesi 2020/21 di Dewan Camelia, Paya Bunga Hotel, Kuala Terengganu, pagi ini.

Turut hadir, Ketua Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) Wakaf Mempelam, Radzali Abdul Ghani, kakitangan daripada I-MITS Wakaf Mempelam dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Wakaf Mempelam

Katanya lagi, program peringkat kedua yang diadakan itu melibatkan 32 pelajar lelaki dan 60 pelajar perempuan yang bakal melanjutkan pelajaran dalam ijazah pertama di IPTA dan IPTS sesi 2020/2021.

“Selepas majlis hari ini, dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN, kita akan mengikuti perkembangan para pelajar melalui pembentukan kumpulan dalam aplikasi Whatsapp. Inisiatif ini berperanan sebagai satu saluran untuk para pelajar berkongsi perkembangan pembelajaran masing-masing.

"Selain itu, pihak kami turut merancang untuk berjumpa dengan anak-anak DUN Wakaf Mempelam di Universiti IPTA dan IPTS, untuk melihat perkembangan pelajaran mereka dan mengadakan pertemuan bersama pelajar-pelajar yang sedia ada di sana,” katanya.