SETIU, 12 Ogos - Wanita bekerjaya perlu seimbangkan tuntutan kerjaya dengan tanggungjawab terhadap keluarga bagi memastikan keharmonian rumah tangga dan pembangunan anak-anak terus terpelihara.
Timbalan Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md Noor berkata, peningkatan penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan menyebabkan ramai wanita kini menghabiskan lebih banyak masa di tempat kerja.
Sekali gus, katanya, ia memerlukan keseimbangan antara tuntutan kerjaya dan tanggungjawab terhadap keluarga.
Menurutnya, keadaan itu perlu diberi perhatian kerana kekurangan masa bersama keluarga boleh memberi kesan terhadap keharmonian institusi rumah tangga sekiranya tidak diuruskan dengan baik.
“Amat penting bagi para wanita, khususnya wanita bekerja, memperoleh pencerahan serta bimbingan berteraskan wahyu Allah SWT agar dapat memperkukuh jati diri, melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya dan seterusnya membentuk keluarga yang sejahtera serta diredai-Nya,” jelasnya.

Zuraida menambah, wanita merupakan tonggak penting dalam membentuk kesejahteraan ummah kerana mereka memainkan pelbagai peranan sebagai isteri, ibu dan anak dalam institusi keluarga serta masyarakat.
"Wanita perlu dilengkapi ilmu agama dan nilai murni yang kukuh supaya mampu melahirkan generasi berakhlak, sejahtera dan berdaya saing,"ujar beliau.
Sementara itu, Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu, Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, Program Bicara Surah An-Nur bukan sekadar pengisian ilmu, sebaliknya menjadi medium untuk membentuk wanita mukminah yang menjaga maruah, akhlak dan nilai kekeluargaan.
Menurutnya, Surah An-Nur amat relevan dengan kehidupan masyarakat hari ini, khususnya dalam menghadapi cabaran media sosial, pergaulan serta penyebaran maklumat yang tidak dipastikan kesahihannya.

“Jangan biarkan jari kita menjadi ejen pemecah belah persaudaraan,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan menjadikan Sayyidatina Aisyah RA sebagai contoh wanita berilmu yang bukan sahaja memiliki keperibadian mulia, malah menjadi rujukan masyarakat dalam pelbagai perkara berkaitan agama dan kehidupan.
Selain itu, katanya, pengiktirafan Sayyidatina Aisyah RA sebagai ikon wanita Terengganu selari dengan hasrat Kerajaan Negeri melalui Dasar Wanita Terengganu untuk melahirkan wanita yang berilmu, berakhlak dan mampu memainkan peranan dalam keluarga serta masyarakat.
Dalam pada itu, beliau berharap Program Bicara Surah An-Nur dapat diperluaskan ke jabatan kerajaan dan komuniti masyarakat sebagai medium penyebaran ilmu, pengukuhan nilai Islam serta pembentukan masyarakat berakhlak mulia.
“Semoga setiap daripada kita pulang dengan ‘Cahaya’ (Nur) dan menjadikan intipati Surah An-Nur sebagai panduan dalam mendidik anak-anak serta menguruskan kehidupan seharian,” tambah beliau.