• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Warga Dungun Teruskan Kempen ‘Terengganu Bersih’

Para peserta gotong-royong yang meneruskan kempen 'Terengganu Go Clean'.
Oleh: Sulaiman Rusli

DUNGUN, 15 Julai - Sebahagian warga Dungun menyertai gotong-royong membersihkan pantai sebagai bagi menyambung kesinambungan ‘Kempen Terengganu Go Clean’ yang dilancarkan kerajaan negeri, April lalu.  

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berterima kasih atas penyertaan dan kejayaan program berkenaan.

“Terima kasih kepada semua yang hadir walaupun hanya sebahagian, sekurang-kurangnya kita berjaya menunjukkan contoh yang baik dan berusaha melaksanakan tanggungjawab ini.

“Agama kita sendiri menyarankan kebersihan sebagai satu asas yang dimasukkan bawah konteks Iman yang mana  aspek itu sangat ditekankan dalam kehidupan manusia,” katanya ketika ditemui dalam program tersebut, semalam.

Program anjuran Pemuda PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura dengan kerjasama  Jabatan Amal Malaysia (Dungun) itu diadakan di persisir Pantai Teluk Gadung dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Dungun, Ahmad Zafran Ismail.

Dalam program itu, Skuad Bersih Pemuda DUN Sura dan Skuad Bersih Amal Kawasan Dungun turut ditubuhkan bagi memperkasakan lagi kempen berkenaan sekali gus merealisasikan motto,”Beautiful Terengganu”.

 “Kita boleh lihat di negara Jepun sebagai contoh di mana kesedaran sivik dipupuk sejak dari pra-sekolah dapat melahirkan bangsa yang berdisiplin.

“Mudah-mudahan, usaha kita ini berkekalan dan diberkati Allah SWT,” katanya.






Tag: