• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Warga Emas Tidak Takut Suntikan Vaksin

DUNGUN, 28 Jun- Rata-rata warga emas di Dungun tidak takut untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dalam usaha mencegah diri daripada dijangkiti virus yang telah membunuh ramai manusia di seluruh dunia.

Hatijah Ali, 80 berkata ini adalah ikhtiar yang kerajaan sarankan kepada rakyat oleh itu tidak perlu usaha baik ini dipertikaikan.

"Hidup mati ini ketentuan Allah SWT, kita hanya mampu berikhtiar, cucuk vaksin ini adalah salah satu ikhtiar kita, Allahkan suruh kita berikhtiar," ujarnya yang ditemui di Pusat Pengambilan Vaksin (PPV) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini. 

Manakala seorang lagi warga emas, Halimah Ali, 80, berharap masyarakat tidak perlu bimbang untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19.

" Sejak di sekolah  selepas kita disuntik, tidak ada apa-apa kesan buruk berlaku, jadi tidak payahlah kita takut, mati itukan hak Allah taala," katanya.

Manakala Ahmad Tajudin Ismail, 56, menggesa penghidap kencing manis agar mengambil suntikan vaksin COVID-19 untuk mengelakkan daripada dijangkiti kerana apabila dijangkiti virus COVID-19, mereka berisiko tinggi untuk mati. 

" Orang yang menghidap kencing manis sepatutnya tidak mengelakkan untuk mendaftar dan mendapatkan suntikan ini kerana, insya-Allah dapat mengelakkan daripada dijangkiti dan kalaupun positif COVID-19 selepas disuntik, ianya tidak bergejala, " katanya yang ditemui di Dewan Dagang, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini.

Sementara itu, Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang berkata, sambutan masyarakat Dungun terhadap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) semakin meningkat sehingga kini 50 peratus daripada mereka sudah mendaftar dan seramai 11,000 orang telah menerima suntikan. 

"Kalau di PPV (Outreach) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketengah Jaya dan  SMK Bukit Besi memang mendapat sambutan, sehingga melimpah kehadiran terutama warga emas untuk mendapatkan suntikan.

"Sehingga kini tiga kali dibuka, dua kali Outreach di SMK  Ketengah Jaya dan sekali SMK Bukit Besi sebanyak 1,500 dos telah dikeluarkan," jelasnya. 

Beliau ditemui selepas meninjau perjalanan PICK di dua PPV di UiTM dan PSMZA bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun. Di dalam kunjungan tersebut, Alias turut menyampaikan sumbangan juadah  tengah hari untuk' frontliners' kesihatan dan keselamatan yang sedang bertugas. 

Menurut Anuar lagi, dua PPV di UiTM dan PSMZA seramai 500 hingga 700 orang  menerima suntikan vaksin berkenaan setiap sehari. 


Tag: