• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Warga Pulau Syukur Tiada Lagi Pilih Kasih

BESUT, 18 November – Masyarakat Pulau Perhentian, Kuala Besut menzahirkan kesyukuran terhadap pemimpin masyarakat mereka kerana menjalankan amanah tanpa pilih kasih.

Salah seorang penduduk, Mohd Hazimazudin Che Haziz, 32, berkata keadilan bantuan yang dikongsi dalam era kerajaan PAS membuatkan warga pulau menikmati rezeki yang sama.

“Apabila berlakunya perubahan kerajaan negeri kepada PAS, kami di Pulau Perhentian sehingga hari ini terima banyak bantuan.

“Ketua kampung pula tidak pilih kasih, bantuan tanpa bezakan latar belakang parti politik. Namun bantuan diterima oleh semua penduduk.

“Satu perkara besar yang tak pernah berlaku pada zaman sebelum ini tapi kerajaan negeri laksanakan adalah pemberian geran tanah kepada penduduk pulau,” katanya ketika ditemui di jeti Pulau Perhentian baru-baru ini.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata pihak kerajaan tidak sesekali mengabaikan hak dan keperluan warga pulau.

“Sejarah tercipta apabila kita berjaya berikan geran tanah hak milik kekal kepada 20 penduduk di sini.

“Saya secara peribadi menganggap masyarakat pulau seperti di darat, apa yang perlu diterima dari segi bantuan mestilah sama mengikut keperluan,” tambahnya.

Terdahulu, calon parlimen Besut daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Nawi Mohamad melemparkan fitnah terhadap kerajaan negeri berkaitan isu Teluk Keke dengan mengheret rakyat pulau.

Walau bagaimanapun, Exco kerajaan negeri, Mohd Nur Khuzaini A. Rahman hadir ke Pulau perhentian bagi menjelaskan tuduhan liar itu.


Tag: