Dr. Sam Persoal Integriti Pelantikan Hakim, Desak Tindakan Segera PM
KUALA NERUS, 26 Jun – Pengiktirafan Koleksi Surat Persendirian Baginda Omar sebagai dokumen warisan dunia oleh UNESCO mengangkat martabat warisan diraja Terengganu di persada antarabangsa, membuktikan ketokohan pemerintahan Melayu abad ke-19 yang penuh wibawa dan berpengaruh dalam jaringan diplomasi serantau.
Majlis Perisytiharan dan Seminar Warisan Asia Pasifik yang berlangsung penuh adat istiadat di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam telah dirasmikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang berkenan mencemar duli berangkat bersama Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail serta paduka-paduka anakanda.
Terdahulu, keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandami dan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Dato’ Jaafar Sidek Abdul Rahman.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandami menyifatkan koleksi surat bersejarah ini sebagai lambang kecendekiawanan dan kewibawaan Sultan Omar ibni Sultan Ahmad Shah yang memerintah Terengganu dari tahun 1839 hingga 1876.
"Baginda Omar atau Sultan Omar merupakan Sultan Terengganu ke-IX yang memerintah dari tahun 1839 hingga 1876.
"Sebanyak 56 naskhah Surat Persendirian Baginda Omar disimpan di Arkib Negara Malaysia sebagai khazanah sejarah yang amat bernilai," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa koleksi tersebut dikumpulkan oleh Syeikh Ulama Tok Ku Tuan Besar Paduka Indera Engku Syed Seri Perdana Engku Muhammad, penasihat utama Sultan Omar, sebelum diwarisi oleh keturunannya dan diserahkan kepada Arkib Negara Malaysia pada tahun 1992.
"Surat-surat asal telah disumbangkan oleh waris Engku Pengiran Anum, iaitu Engku Wook dan Engku Mohsein.
"Koleksi ini mencakupi jangka masa dari tahun 1839 hingga 1893," jelasnya.
Menurutnya, dokumen berharga ini terlebih dahulu diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara pada 30 September 2010, sebelum menerima pengiktirafan peringkat serantau sebagai dokumen warisan dunia oleh UNESCO di bawah Memory of the World Committee for Asia and the Pacific (MOWCAP) pada 8 Mei 2024.
Beliau turut memuji peranan Arkib Negara Malaysia yang telah melaksanakan pemuliharaan dan pendigitalan surat-surat asal bagi memastikan warisan ini terus hidup dalam simpanan negara.
"Arkib Negara Malaysia telah menyimpan surat-surat ini dalam bilik khas di repositori Kuala Lumpur.
"Dan kini proses pendigitalan telah pun disempurnakan," tambah beliau.
Saraswathy menekankan keupayaan pemerintahan Baginda Omar yang berjaya menjalin hubungan diplomatik dengan kuasa luar seperti Riau-Lingga, Siam dan British serta memperkukuh institusi agama Islam di negeri ini.
"Baginda berjaya meningkatkan perdagangan dan pentadbiran negeri serta mengekalkan hubungan dengan Kerajaan Rattanakosin di Thailand.
"Baginda juga melantik imam-imam dari Riau untuk memperkukuh ajaran Islam di negeri ini," ujarnya.
Beliau optimis lebih banyak dokumen warisan akan diangkat ke peringkat dunia menerusi usaha gigih Arkib Negara Malaysia.
"Saya percaya banyak lagi dokumen sejarah yang sedang dalam proses untuk diiktiraf di peringkat serantau dan global.
"Usaha ini perlu diberi sokongan penuh oleh seluruh rakyat," tegasnya.