• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Wartawan 'TvSepuluh Kini' Tarik Perhatian Warga Kemaman

KEMAMAN, 31 Julai - Kemunculan seorang lelaki berperwatakan dan berketerampilan luar kebiasaan, kini menjadi perhatian serta tumpuan masyarakat komuniti di sini.

Beliau dengan gaya dan cara tersendiri hampir setiap hari membuat siaran langsung di 'Facebook' miliknya iaitu Wartawan 'TvSepuluh Kini'.

Beliau akan bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain bagi mempromosikan perniagaan komuniti setempat tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Kini, apa yang dilakukannya itu mula menjadi 'viral' sejak awal tahun ini. 

"Sebelum ini, saya mengadakan siaran langsung tanpa menunjukkan diri sendiri. Namun, saya menerima banyak permintaan dari penonton yang ingin melihat diri saya.

"Selepas itu, saya mula mendapat idea untuk menonjolkan diri tetapi dengan hanya menyamar seperti ini. 

"Memandangkan saya juga seorang peniaga, saya amat memahami perasaan peniaga-peniaga lain yang sedang bersedih kerana terjejas pendapatan ketika negara ini masih berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Oleh yang demikian, saya mula mengadakan siaran langsung secara amal. Kebanyakannya, saya turun mempromosikan perniagaan penjaja-penjaja kecil di tepi jalan," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin.

Beliau yang lebih suka tidak mendedahkan identiti sebenar menerima apa jua tanggapan orang ramai terhadapnya sama ada positif atau pun negatif.

"Dunia hari ini sedang bersedih. Apa yang saya lakukan ini hanyalah untuk menghiburkan hati mereka terutamanya peniaga-peniaga.

"Ini semua hanyalah watak penghayatan sebagai wartawan tv sepuluh sahaja. Perwatakan sebenar saya sama sahaja seperti orang lain," jelasnya.

Beliau turut menghargai sokongon daripada penonton-penonton yang kebanyakannya bukan sahaja dari negeri Terengganu ini, bahkan ada juga penonton dari negeri Pahang, Kedah, Johor dan lain-lain.

"Saya tumpang gembira apabila ada sebahagian peniaga semakin laris jualannya selepas dipromosikan. Itu semua adalah ketentuan dan takdir daripada Allah SWT.

"Semoga kita sama-sama memperoleh manfaatnya," ujarnya yang turut mempunyai perniagaan kedai makan iaitu 'Fahmi Hotlenz dan mobile spa bergerak 'Fahmi EBclusive Men'," katanya.