• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

'World Wetlands Day' Bawa Rakyat Terokai Alam

SETIU, 20 Februari – Penganjuran ‘World Wetlands Day’ membawa rakyat merasai sendiri keajaiban alam semulajadi yang memainkan peranan besar terhadap kehidupan manusia.

Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata penganjuran tersebut bertujuan mendalami bagaimana kawasan tanah bencah sangat penting dalam menjaga kesejahteraan hidup.

Katanya, keluasan kawasan Setiu Wetlands yang berjumlah 23,000 hektar didiami oleh pelbagai lapisan komuniti.

"Dengan kekayaan alamnya yang luar biasa, menjadi saksi bisu bagaimana ekosistem sedia ada memberikan manfaat luar biasa bagi kehidupan sehari-hari.

“Kawasan tanah bencah bukanlah hanya sekadar pemandangan indah, tetapi juga ia merupakan satu sumber kehidupan yang mana menjadi sokongan utama dalam memastikan bekalan air bersih," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Merasmikan Program Sambutan World Wetlands Day 2024 bertempat di Jeti Kampung Gong Batu, Setiu di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) Ahmad Ridzuan Abdul Rahman dan Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Tengku Mohd Ariffin Tengku Dato’ A Rahman.

Tambah Tun Faisal, hubungan antara tanah bencah dan kesejahteraan manusia tidak dapat dipisahkan.

Jelasnya lagi, air bersih yang digunakan untuk minum, pertanian, dan sokongan terhadap kepelbagaian spesies semuanya bersumber dari tanah bencah.

Oleh itu, adalah menjadi satu kewajiban bagi kita untuk melindungi dan menjaga kawasan tanah bencah ini agar terus mampan.

Beliau berkata, melalui usaha kolaboratif antara pihak kerajaan, komuniti akan memastikan bahawa taman negeri Setiu Wetlands tetap lestari dan memberikan manfaat jangka panjang bagi kesejahteraan manusia.

Bagaimanapun, ini bukan hanya tanggung jawab agensi kerajaan atau segelintir pihak saja, tetapi ia adalah merupakan sebuah komitmen bersama untuk melindungi aset alam yang berharga ini.

“Aktiviti-aktiviti yang diadakan sepanjang berlangsungnya program pada pagi ini sejajar dengan tema sambutan World Wetlands Day 2024 iaitu, 'Wetlands and Human Wellbeing'.

“Maka, program ini dilaksanakan dengan memperkenalkan kepentingan dan meningkatkan kefahaman orang awam mengenai keunikan persekitaran alam semulajadi tanah bencah yang unik di Setiu Wetlands ini,” ujarnya.

 

 

 


Tag: