• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Wujudkan Tukun Tiruan Garis Sempadan

KUALA TERENGGANU, 24 April - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof menyarankan kerajaan agar menekuni titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin agar program pembangunan tukun bergerak ke fasa mewujudkan tukun tiruan garis sempadan dan pesisir pantai perairan Terengganu.

"Saya juga suka untuk menasihatkan kerajaan agar menekuni hasrat Tuanku Sultan yang menitahkan projek program pembangunan tukun ini bergerak ke fasa seterusnya iaitu ke arah mewujudkan tukun tiruan garis sempadan dan pesisir pantai perairan Terengganu," katanya ketika membahas Titah Ucapan Ke bawah Duli Sultan Mizan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di sini hari ini.

Katanya dalam industri perikanan Terengganu, kejayaan dapat dilihat dari pendaratan ikan marin yang begitu ketara, hasil dari rintisan projek pembinaan tukun tiruan di perairan negeri..

Di samping itu menurutnya, dengan penobatan daerah Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu, kesan langsung dari inisiatif ini dapat dirasai oleh rakyat tempatan di daerah tersebut.

Beliau juga menyentuh penyeludupan ternakan luar ke negeri Terengganu melalui Setiu yang telah merosakkan harga pasaran ternakan tempatan sekali gus menyebabkan jangkitan penyakit kepada ternakan berkenaan.

Katanya, memandangkan daerah Setiu agak dekat dengan sempadan Malaysia-Thailand, ia memberi peluang kepada penyeludup ternakan luar ke negeri Terengganu.

"Perkara ini bukan sahaja telah merosakkan harga pasaran ternakan, bahkan lebih teruk daripada itu telah memudaratkan ternakan tempatan yang menerima tempias jangkitan penyakit yang dibawa oleh ternakan seludup.

"Oleh itu Langkap amat berharap kerajan negeri mengambil perhatian serius mengenai perkara ini,"ujarnya..


Tag: