• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

YADIM Agih Bantuan Kepada Mangsa Banjir

KEMAMAN, 26 Disember - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu tidak melepaskan peluang untuk turut sama membantu mangsa banjir yang terjejas di Kemaman.

YADIM hadir ke daerah ini dan telah memilih Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai untuk mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir.

Penolong Pengarah YADIM Terengganu, Nasrul Hadi Saidin bersyukur ke kerana pihaknya dapat membantu dan menyantuni golongan terjejas di daerah ini.

"Alhamdulillah, pagi tadi saya bersama 11 orang anggota berada di DUN Air Putih bersama mangsa banjir di sana.

"Petang ini pula kami berada di DUN Chukai membawa sumbangan 140 kampit beras dan barangan dapur khas untuk warga Cukai yang ditimpa musibah banjir," katanya selepas program kelmarin.

Menurutnya, peluang yang diberikan pihak berautoriti dimanfaatkan sebaik mungkin YADIM dalam meringankan beban mangsa.

"Terima kasih kepada pihak tempatan terutamanya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat yang membuka peluang kepada kami untuk turun padang bersama-sama menyantuni golongan ini.

"Mudah-mudahan sedikit sebanyak bantuan daripada YADIM hari ini dapat meringankan beban mereka yang ditimpa musibah," ujarnya.

Beliau turut berharap dengan program bersama yang diadakan itu menjadikan hubungan antara pihak kerajaan dan YADIM dapat diperkemaskan lagi pada masa hadapan demi kebaikan rakyat khususnya di Terengganu.

"Sama-sama kita lestarikan dakwah di negeri Terengganu Darul Iman, jom sertai Sukarelawan Fastabiqul Khairat," katanya lagi.

Dalam program itu, YADIM bersama Hanafiah sempat menziarahi dan menyantuni hampir 70 orang mangsa banjir di Kampung kuala kemaman. 

Hanafiah turut menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai kepada setiap penerima bantuan tersebut itu. 

Kos sebanyak RM13,000.00 diperuntukan bagi keseluruhan sumbangan yang diberikan itu.

Turut bersama dalam program tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.


Tag: