• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Yahaya Dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah Golden Pharos Baharu

KUALA TERENGGANU, 2 April- Bekas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Golden Pharos Bhd (GPB) yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif GPB, Mohd Roslan Mamat berkata, syarikat yakin pelantikan Yahaya bersama ahli-ahli lembaga pengarah yang baharu akan membantu melonjak prestasi syarikat itu yang terbabit dalam industri perkayuan secara bersepadu.

Katanya, pelantikan Yahaya yang diumumkan dalam kenyataan Bursa Malaysia semalam adalah bagi menggantikan Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar yang memegang jawatan tersebut sejak 1 Ogos 2018.

“Lima orang ahli Lembaga pengarah yang lama kekal menjadi ahli manakala tiga orang baharu telah dilantik termasuklah bekas ketua pegawai eksekutif, Dr Mohd Zaki Hamzah,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin, Profesor Datuk Dr Yahya Ibrahim juga dilantik sebagai ahli Lembaga pengarah GPB yang baharu bagi menggantikan Mohd Badarudin Ismail
yang turut meletakkan jawatan.

“Syarikat mengalu-alukan lantikan baharu ini dan mengharapkan agar mereka dapat membawa syarikat ke arah hala tuju yang lebih baik dan berdaya saing, sesuai dengan kedudukan syarikat yang tersenarai dalam papan utama Bursa Malaysia,” katanya.

Beliau turut mengharapkan agar hala tuju syarikat dapat dipandu oleh pengalaman Yahaya yang luas dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta perkhidmatan awam.

Menurut beliau, rombakan ahli lembaga pengarah syarikat juga merupakan salah satu daripada proses penstrukturan semula, selari dengan polisi kerajaan negeri yang baharu.

"Terima kasih kepada Tengku Hassan serta ahli lembaga pengarah yang lain di atas jasa dan sumbangan mereka dalam memajukan syarikat sebelum ini, " ujarnya.