Jalur Gemilang
Berita :
YAPEIM Sasar 300 Penerima Manfaat Program Pembangunan Komuniti Terengganu
YAPEIM Sasar 300 Penerima Manfaat Program Pembangunan Komuniti Terengganu
Mastura Jamal Din
03 Oct 26
3

HULU TERENGGANU, 3 Oktober – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyasarkan kira-kira 300 penerima manfaat di Terengganu menerusi Program Pembangunan Komuniti YAPEIM (PPKY) tahun ini.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Tuan Abdul Khudus Mohd Naaim berkata penerima terdiri daripada golongan yang memerlukan meliputi bidang pembangunan ekonomi, pendidikan dan bantuan kemasyarakatan.

“Untuk tahun ini, kita menganggarkan sumbangan sebanyak RM35 juta yang merangkumi bantuan pembangunan ekonomi sekitar RM15 juta, pendidikan kira-kira RM7 hingga RM8 juta dan selebihnya untuk bantuan kemasyarakatan.

“Di Terengganu, kita sasarkan kira-kira 300 penerima merangkumi semua program berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis peluncuran PPKY Usahasama Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) dan YAPEIM 2026 di Kenyir Elephant Cultural Village (KECV), di sini, hari ini.

Beliau berkata bantuan kemasyarakatan antara lain melibatkan keluarga yang berdepan kesempitan hidup akibat bencana seperti banjir serta mereka yang memerlukan pembinaan atau pembaikan rumah.

Katanya, pemilihan penerima dibuat dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Agama Islam negeri bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Senarai penerima adalah berdasarkan data ICU serta senarai asnaf Majlis Agama Islam negeri-negeri, khususnya golongan B40 dan mereka yang tidak mendapat bantuan daripada sumber lain,” katanya.

Abdul Khudus berkata YAPEIM turut bekerjasama dengan rakan strategik korporat termasuk institusi perbankan, syarikat perniagaan dan agensi lain dalam melaksanakan program pembangunan masyarakat, pendidikan serta bantuan kemasyarakatan.

Beliau berkata kerjasama itu membolehkan agihan bantuan dibuat berdasarkan kriteria yang ditetapkan serta senarai penerima yang dikenal pasti oleh rakan strategik terbabit.

Katanya, bagi pelaksanaan program di Terengganu, YAPEIM mempunyai pasukan seramai lapan orang di pejabat negeri yang akan menyelaras pelaksanaan program dan bantuan kepada penerima.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan