• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Yayasan Terengganu Jalin Kerjasama dengan UniSHAMS

KUALA TERENGGANU, 28 Mei - Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu menjalinkan kerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) di Kedah dalam Program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS).

Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia merupakan satu usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan kerjasama strategik antara negeri State Government 4 (SG4) dalam semua bidang bagi mencapai kesejahteraan bersama.

"UniSHAMS  merupakan satu-satunya universiti swasta milik penuh kerajaan negeri Kedah yang menawarkan Program MBBS dengan kadar yuran pengajian paling rendah berbanding IPTS lain.

"Sehingga kini seramai 13 orang pelajar telah memulakan pengajian perubatan di UniSHAMS dan berjaya mengekalkan kecemerlangan dalam peperiksaan baru-baru ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara Yayasan Terengganu dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah(UniSHAMS) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan delegasi kerajaan negeri Kedah yang kini dalam rangka lawatan kerja ke Terengganu.

Menurut Ahmad Samsuri lagi, kerajaan negeri sentiasa memberi penekanan kepada pendidikan dalam memastikan semua rakyat berpeluang mendapatkan pendidikan yang sempurna dan terbaik.

"Saya percaya prinsip ini akan melahirkan modal insan berkualiti dalam pelbagai bidang yang akan menyumbangkan kembali kepada kesejahteraan negeri dan negara," katanya.


Tag: