• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

YPU Prihatin, Peniaga Tekad Majukan Perniagaan

DUNGUN, 25 Mac- Melihat kepada kecaknaan dan keprihatinan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) membantu usahahawan dalam segala aspek termasuk bersedia membekalkan barnagan yang diperlukan ternyata menyuntik semangat peniaga untuk terus memajukan perniagaan mereka.

Seorang pengusaha kedai makan, Mohd Zaki Abu Bakar, 39, berkata, dia membuat permohonan untuk mendapatkan dapur dan payung meja makan pada akhir tahun lepas.

" Kalau dikira sebelum ini, memang tidak cukup dapur, sebab isteri saya masak semua menu yang kami jual di kedai kami, jadi dengan adanya tambahan dapur ini cepatlah sikit dapat disediakan dan dapatlah kami menambah menu," katanya yang mula berniaga bersama isterinya sejak 2008.

Mohd Zaki yang ditemui pemberita selepas majlis penyerahan barangan tersebut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun di Balai Raya Alor Tempoyak di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, seramai lima orang pengusaha kecil turut menerima sumbangan barangan daripada YPU di bawah Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri Terengganu yang telah banyak membantu peniaga - peniaga di Terengganu untuk berjaya.

Sementara itu, seorang pengusaha kek atas talian, Junainah Adam, 38 bersyukur kerana selepas ini dapat menyediakan stok kek untuk ditempah tanpa mengira masa. 

"Sebelum ini, saya hanya ambil 'order' dua, tiga hari, sebelum tutup 'order' dan sehari suntuk saya akan buat kek dan buat 'cod', ini amat memenatkan, 

"Jadi dengan adanya peti sejuk ini, bolehlah saya buat simpan kek dan boleh terima order pada bila-bila masa," ujarnya yang memohon peti sejuk bertingkat. 

Sementara itu Alias mengingatkan agar penerima-penerima tidak mengsia-siakan pemberian kerajaan negeri untuk melihat rakyatnya maju di dalam perniagaan. 

" Saya sangat harapkan agar barang - barang yang kita dapat ini tidak kita jual untuk nak duit tunai, gunakannya sebaiknya," ujarnya. 


Tag: