• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

YPU Salur RM250,000 Bantu Peniaga Bazar Ramadan

KUALA TERENGGANU, 22 Mac- Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menyampaikan Skim Pembiayaan Khas Bazar Ramadhan (SPBAR) bernilai RM250,000 bagi meneruskan agenda meringankan beban usahawan-usahawan Terengganu untuk membuka perniagaan di bulan Ramadan.

Skim pembiayaan segera itu bakal diagihkan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu (PPPKMT) kepada 124 penjaja dan peniaga kecil yang membuka perniagaan di bazar Ramadan seluruh negeri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan Sumber Manusia Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, skim yang dilaksanakan sejak empat tahun lalu telah banyak membantu usahawan kecil di negeri itu.

"Hampir setiap tahun kita sediakan (dana pembiayaan) untuk membantu usahawan-usahawan kecil kita menyertai bazar-bazar Ramadan, bagi mereka mendapatkan wang menyediakan bahan mentah dan peralatan.

"Pada peringkat awal (tahun 2020) kita bagi RM150,000, kemudian apabila permintaan tinggi kita naikkan kepada RM200,000 (2021) dan kini, kita naikkan kepada RM250,000 dengan melantik persatuan menjadi 'vehicle' kita.

"Seorang penerima kita beri antara RM1,000 hingga 3,000 mengikut permohonan dan keperluan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan SPBAR kepada Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu (PPPKMT), Tuan Chik Tuan Muda di pejabat YPU, hari ini.

Hadir sama, timbalannya; Hilmi Harun serta Ketua Pegawai Eksekutif YPU; Mohd Rashdan Muda.

Tambahnya, meskipun masih terdapat kelewatan dalam pembayaran balik SPBAR, pihaknya bersetuju meneruskan skim tersebut dengan syarat sedia ada.

Nurkhuzaini menjelaskan, terdapat kelewatan bayaran daripada hanya 10 peratus peminjam berbanding 90 peratus yang telah menyelesaikan SPBAR.

"Kita masih lagi memberi kepercayaan kepada persatuan untuk mendapatkan balik pembiayaan yang diberikan," katanya yang berharap SPBAR dapat digunakan sebaik-baiknya.


Tag: